Jelas Jun Ho, untuk menjayakan watak tersebut, dia telah mencuba sebaik mungkin agar tidak nampak kekok apabila ada adegan memasak memandangkan wataknya sebagai seorang cef.

Kata anggota kumpulan 2PM itu, sebaik ditawar berlakon drama arahan Park Seon Ho itu, dia tidak menolak kerana tertarik dengan skrip yang dihasilkan oleh Seo Sook Hyang.

“Saya suka karya Seo Sook Hyang dan saya juga ingin melihat bagaimana Seon Ho mengarah drama ini. Ditambah pula dengan barisan pelakon yang sudah lama saya idam untuk bekerjasama dengan mereka, jadi kenapa saya mesti tolak tawaran tersebut.

“Memandangkan semua yang terlibat dalam drama ini orang hebat-hebat, saya hanya perlu memberi tumpuan pada lakonan saya saja agar setanding dengan mereka,” katanya yang banyak belajar daripada kru yang terbabit.

Jelas Jun Ho, sepanjang berada di lokasi penggambaran, dia sentiasa seronok kerana dua pelakon utama, Jang Hyuk yang melakonkan watak Doo Chil Seong dan Jung Ryeo Won (Dan Sae Woo) sering menceriakan suasana.

Katanya, Jang Hyuk seorang yang kelakar sewaktu di lokasi dan Ryeo Won pula menceriakan suasana dengan senyumannya yang menawan.

Sementara itu, drama 38 episod yang bergenre romantik itu berakhir tayangannya pada malam ini. - UTUSAN ONLINE