Seiring dengan itu, saluran tersebut juga memfokus kepada penonton moden Malaysia dan mensasarkan demografi yang lebih menarik kepada pengiklan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPTN), Johan Ishak, penjenamaan semula ntv7 merupakan salah satu usaha berterusan pihak MPTN untuk menarik lebih ramai pengiklan dan penonton baharu.

“Saya cukup teruja dengan penjenamaan semula ntv7 kerana kita lebih fokus kepada penonton moden Malaysia dan mensasarkan demografi yang lebih menarik kepada pengiklan.

“Daripada rancangan bual bicara, rancangan hiburan hingga ke drama dan telefilem, pengisian ntv7 menyuntik elemen yang lebih segar dan hip.

“Penampilan wajah-wajah baharu daripada pelbagai bangsa, kolaborasi dengan selebriti baharu dan lebih berpengalaman menjadikan ntv7 begitu unik berbanding program di saluran lain, “ katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Antara program yang bakal ke udara kelak ialah rancangan bual bicara pagi Feel Good Show yang akan disiarkan setiap hari pada pukul 8 pagi hingga 10 pagi.

Program itu menampilkan wajah-wajah baharu antaranya Erwin Dawson, Keanu Azman, Aaron Al-Fateh, Nana Al Haleq dan Sugeeta yang berkolaborasi dengan hos yang lebih berpengalaman iaitu Razif Hashim dan Megan Tan.

Sementara itu untuk mendapatkan berita hiburan terkini, penonton boleh menyaksikan Pop! TV dan Pop! Express yang padat dengan berita hiburan tempatan dan antarabangsa bersama-sama hos Shuk Sahar, Azira Shafinaz, Ain Edruce, Shalma Ainaa, dan Maggy Yang yang ditayangkan setiap Jumaat, pukul 9.30 malam selama sejam.

Sementara penyanyi dan pelakon Alif Satar buat pertama kalinya akan mengendalikan program bual bicara sendiri iaitu It’s Aliff! yang membicarakan topik dari perspektif lelaki dan ditayangkan setiap Selasa pukul 9.30 malam. - UTUSAN ONLINE