Kesibukannya sebagai pengacara, pelakon dan usahawan hebat menuntut komitmen yang sangat tinggi. Sehingga ada yang bertanya, dia punya masa untuk diri sendiri atau tidak?

Namun di saat Neelofa ini mencipta kejayaan demi kejayaan, diari seninya dipercik lumpur yang mungkin sukar untuk dirinya terima. Kecaman dan kritikan dihadapi bersilih ganti.

Bukan mudah untuk dia bernafas di dalam longgokan kontroversi yang cukup hebat untuk didepani. Saat jiwanya rapuh, dia mula mengenal bahu siapa yang boleh bersandar dan lawan mana yang harus dia elakkan.

“Banyak yang berlaku sepanjang 2018. Bermula dengan kontroversi pelancaran tudung di kelab malam, itu sudah cukup berat untuk saya tanggung. Ketika itu, saya cukup belajar mematangkan diri.

“Saya dapat lihat, mana kawan dan mana lawan. Sokongan yang datang daripada setiap penjuru menjadikan jiwa saya kebal. Kontroversi itu tidak mematahkan semangat saya,” kata anak kelahiran Kelantan ini.

Pada usia menginjak ke angka 30 ini, langkah Neelofa semakin berani, tidak lagi gentar dengan pandangan nakal netizen. Jiwanya cukup besar untuk membiarkan sahaja mulut-mulut itu berbicara sendiri.

Diajukan soalan, tidakkah pernah terfikir untuk menghentikan sahaja karier seninya sementelah sudah punya segalanya, dia tersenyum.

Tidak cukupkah lagi kemewahan dan kemasyhuran yang jarang-jarang dimiliki seorang anak seni?

“Jujurnya, memang pernah terlintas di fikiran untuk berhenti sahaja. Penat sebenarnya melayan kecaman nakal netizen. Bertahun-tahun saya berperang dengan diri sendiri dan mencari semangat.

“Sampai ke satu tahap, saya tak boleh terima lagi. Cuma semakin hari, kematangan saya berganda. Kenapa saya perlu ambil peduli tentang apa yang fikir? Saya kena kuat semangat,” kata anak ketiga daripada sembilan adik- beradik.

Mengimbas memori saat kerapuhan jiwanya beberapa tahun lalu, dia sehingga kini sukar memaafkan individu yang mengguris hatinya. Dakwaan sakit mental yang pernah dilabel cukup membunuh halus sanubarinya.

“Sampai sekarang, saya sukar memaafkan dia. Masih mencuba sedaya upaya untuk maafkan dia. Tetapi luka itu terlalu dalam. Saya fobia hendak baca berita, ketika itu jiwa saya rapuh seperti kaca,” katanya.

Beralih kepada soal lain, diusik dengan soalan, tidakkah kesibukannya membataskan rasa ingin bercinta dalam dirinya, dia ada jawapan tersendiri. Selesa sendiri melayan hati, Neelofa mengakui baru kali ini dia merasa bebas terbang di langit biru tanpa pening memikirkan soal cinta.

“Anda rasa saya ada masa untuk pening kepala fikir soal cinta sekarang? Saya rasa, ini momen paling bahagia. Saya selesa solo dan tak payah sesak kepala untuk bercinta.

“Memang selalunya, sebelum ini hati ini ditemani seseorang tapi sampai satu ketika saya selesa sendiri. Bagus sangat rasa itu,” jelas wanita yang pernah bermain cinta dengan beberapa lelaki popular, termasuk Datuk Hans Isaac dan Fattah Amin.