Setiap cerita dan rasa penyanyi ini terhadap seni nyanyian dirangkumkan selama 90 minit di pentas Istana Budaya, kelmarin mengiyakan pendapat bahawa dia bukan sembarangan penyanyi.

Lewat penceritaan profil seninya buat kali pertama di sebuah panggung sebesar Istana Budaya menarik perhatian penggemarnya termasuk nama-nama besar dalam industri hiburan Malaysia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Salamiah Hassan, Adibah Noor, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac dan Nabil Huda.

Beruntung benar Tulus kerana peluang dan kesempatan sedemikian amat terbatas untuk didakapi penghibur di Malaysia. Panggung sebesar Istana Budaya itu merupakan impian sebahagian besar daripada penyanyi di Malaysia khususnya.

Namun kerana namanya Tulus dan atas merit yang ada padanya, maka kewajaran mengundang penghibur ini beraksi di Istana Budaya merupakan pilihan yang tidak perlu disensasikan,

Berbalik pada konsert sulungnya kelmarin, dia tampil sungguh menawan dan sangat elegan sekali.

Setulus namanya, Muhammad Tulus, pesona yang ada dalam anak seni kelahiran Bukit Tinggi, Sumatera Barat ini sangat mudah menawan hati sesiapa sahaja.

Tidak perlu bekerja keras di pentas, Tulus sebaliknya, begitu bersederhana dalam segenap aspek pementasan kerana dia tentu sekali menyedari, aset yang paling berharga yang ada di dalam dirinya ialah vokal emasnya yang benar-benar menyentuh hati semua penonton pada malam berkenaan.

Penceritaan kerjaya seni sehinggalah apresiasi yang terlalu tinggi Tulus buat peminat di Malaysia tidak pernah lekang pada bibir pemuda berusia 31 tahun ini.

“Terima kasih kepada teman-teman di Malaysia yang hadir pada malam ini. Saya senang melihat kalian semua senang dan terhibur. Saya tidak mahu anda semua sedih kerana malam ini saya akan menggembirakan anda,” katanya yang ternyata begitu berbesar hati dengan maklum balas luar biasa daripada para peminatnya.

Kemunculan Tulus di pentas besar itu diiringi tepukan gemuruh. Ia membuktikan keterujaan penonton yang majoritinya baru pertama kali menyaksikan figura hebat itu secara langsung.

Pentas Panggung Sari dibuka oleh Tulus dengan lagu Baru diikuti dengan Kisah Sebentar.

Tidak mengambil masa yang lama untuk berinteraksi dengan penonton, Tulus menyambung nyanyiannya dengan menyampaikan lagu-lagu daripada tiga albumnya iaitu Tulus, Gajah dan Monokrom.

Barisan lagu yang dipersembah antaranya Tukar Jiwa, Ruang Sendiri, Langit Abu-abu, Monokrom dan Jangan Cintai Aku Apa Adanya tidak dinyanyikan sendirian, tetapi penonton turut sama mengalunkannya.

Melihat nyanyian bersama-sama oleh penonton, Tulus sekali lagi meluahkan rasa terima kasih kerana peminat Malaysia menghafal kesemua lagunya termasuk lagu baharu, Labirin.

Kemeriahan konsert semakin bertambah tatkala Tulus meminta penonton berdiri dan menari sewaktu dia menyanyikan lagu berjudul Lagu Untuk Matahari.

Gamat suasana dalam Panggung Sari dengan respons ‘sporting’ daripada peminat.

Tulus menutup konsert dengan lagu Sewindu yang paling dinanti-nantikan. Meskipun belum puas namun peminat nyata gembira dengan nyanyian 15 buah lagu tanpa henti daripada jejaka itu.