Mia Ahmad

Sebagai orang baharu, dia tentu tidak terlepas daripada kutukan peminat yang kurang berpuas hati dengan hasil kerjanya. Mengakui pelbagai hamburan kata-kata kurang manis diterima sejak akhir-akhir ini namun semua itu tidak langsung mematahkan semangatnya.

“Saya sedar lakonan saya banyak membuatkan orang kurang senang. Jika dilihat kembali macam-macam kutukan dan kritikan yang saya terima.

“Ada yang mengatakan saya ‘kayu’ dan tak pandai berlakon. Tak kurang juga yang mempersoalkan pelbagai perkara sehingga membuatkan saya buntu. Tapi tak mengapalah kalau memberi kritikan soal lakonan.

“Saya sedar saya masih lagi kategori pelakon baharu dan masih banyak perkara yang perlu diteroka. Saya ambil semua itu sebagai cabaran,” ungkap gadis ini.

Nama Mia Ahmad kini menjadi sebutan gara-gara watak Yuhanis yang dilakonkannya dalam drama rantaian Hati Perempuan.

Membawakan watak wanita yang kurang beradab dan kurang sopan, Mia dihentam teruk gara-gara lakonannya itu. Ramai yang mempertikaikan perkembangan watak Yuhanis yang dikatakan berlebihan dan mengarut.

Tidak kurang juga yang menganggap Yuhanis sebagai wanita yang pelik dan tempias itu terkena kepada Mia yang dipertanggungjawabkan untuk menghidupkan watak tersebut.

Mengakui ramai yang membencinya gara-gara drama berkenaan, Mia tidak pernah menjadikan perkara tersebut sebagai kekangan atau menjatuhkan moralnya sebagai pelakon baharu.

Bagi Mia kebencian orang terhadap Yunanis menjadi ‘kemenangan’ kepadanya sekaligus membuktikan lakonannya menjadi.

“Saya tak kisah kalau peminat nak membenci saya kerana watak tersebut. Kalau nak ikutkan saya sendiri kurang senang dengan watak itu pada awalnya.

“Cuma saya ambil perkara ini sebagai cabaran untuk mencuba nasib sebagai pelakon. Alhamdulillah orang mula nampak bakat saya meskipun ramai yang membenci.

“Kalau mereka benci Yunahis tak mengapa, janganlah benci saya,” kata Mia tertawa.

TIDAK dinafikan ramai yang masih belum mengenali pelakon ini dengan lebih dekat. Bagi Mia tempoh setahun setengah menjadi pelakon merupakan fasa yang begitu mendebarkan untuknya.

Sebelum ini anak kelahiran Taiping, Perak ini pernah bekerja sebagai pramugari di syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X hampir empat tahun sebelum terjun ke bidang seni.

Mengakui cita-citanya untuk bergelar pramugari sejak alam persekolahan sudah tercapai, Mia bagaimanapun enggan meneruskan kerjaya tersebut.

Baginya terbang di awan biru memang menjadi keseronokan tetapi pada masa yang sama dia berhadapan dengan kekangan dan prinsip hidup.

“Pada awalnya saya tidak menghadapi masalah tetapi semakin lama bekerja semakin banyak perkara bermain di fikiran apabila mengenangkan kerjaya begitu.

“Sebagai pramugari pastinya saya perlu menyediakan alkohol dan sebagainya. Lama kelamaan saya terfikir adakah yang saya lakukan ini betul atau sebaliknya?

“Tak mengapalah saya perjudikan nasib dengan berhenti kerja. Cukuplah pengalaman tersebut setakat itu dan saya yakin pasti ada jalan lain buat saya,” cerita Mia lagi.

Sebaik sahaja menamatkan tugas di syarikat penerbangan tersebut, dia mula aktif dalam bidang peragaan.

Sepanjang tempoh berkenaan, dia hanya menggunakan wang simpanan untuk menyara hidup sebelum terjun ke dalam bidang lakonan sehingga hari ini.

“Dalam tempoh berkenaan macam-macam perkara terjadi kepada saya. Waktu itu saya masih belum berhijab dan mula memikirkan perkara berkenaan.

“Apabila berlaku tragedi MH370, saya mengambil keputusan untuk berhijab. Memang peristiwa berkenaan begitu menyentuh perasaan saya.

"Saya bersyukur kerana Allah mempermudahkan jalan saya untuk berubah ke arah kebaikan,” kata pelakon utama drama Ku Tak Rela ini lagi.

Pun begitu Mia awal-awal lagi meletakkan syarat untuk menjadi anak seni. Baginya dia enggan bersentuhan dengan lelaki meskipun dalam babak lakonan.

Cuma sebagai manusia dia juga terkhilaf saat bersalaman dengan pelakon Syarul Ridzuan yang membawakan watak suami Yuhanis dalam satu babak drama Hati Perempuan.

Menganggap perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku, Mia mendapat teguran daripada kedua-dua ibu bapanya yang kurang senang dengan perkara tersebut.

“Dahulu mereka larang saya menjadi pelakon. Tapi apabila sudah mengenakan hijab mereka membenarkan asalkan saya tidak bersentuhan dengan lelaki bukan mahram.

“Saya akui kesilapan tersebut dan berharap mana-mana pihak produksi yang mahu mengambil saya sebagai pelakon memahami perkara berkenaan.

"Itu memang prinsip dan syarat saya,” tambahnya.

MELIHATKAN perjalanan seni pelakon ini, ramai yang menganggap Mia mempunyai potensi yang besar untuk pergi lebih jauh selepas ini. Namun dia tidak begitu selesa dengan kata-kata sebegitu dan lebih senang andai perkara itu dibuktikan terlebih dahulu.

Dia yang menginjak usia 27 tahun ini juga adakala merasakan faktor usia menjadi kekangan untuknya ‘mengembara’ lebih jauh seperti rakan artis yang lain.

“Saya sedar ramai yang menganggap angka 27 itu sudah terlambat untuk menyertai industri seni tanah air. Kalau dilihat memang kebanyakan pelakon baharu muncul dalam usia yang jauh lebih muda.

“Tapi saya tak mahu menjadikan perkara itu sebagai masalah besar. Bagi saya usia sekadar angka, yang penting cara kita membawa diri dan menunjukkan hasil kerja yang baik.

“Saya percaya tak ada perkara yang tak dapat diatasi. Kalau nak berjaya kena ketepikan semua halangan dan terus mencapai impian,” jelasnya lagi.

Menjadikan Rozita Che Wan sebagai idola, Mia cukup tertarik dengan wanita beranak tiga tersebut. Baginya Rozita telah membuktikan usia bukan halangan untuk terus kekal diminati dan berjaya dalam bidang yang diceburi.

Ketika ditanya tentang perjalanan seninya pula, Mia menganggap dia bertuah kerana diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama dalam beberapa buah drama.

Namun adakala dia terfikir tentang persaingan memandangkan terpaksa bersaing dengan nama-nama besar yang sudah gah di hati peminat.

“Sebagai orang baharu adakala saya rasa diri ini kerdil jika nak dibandingkan dengan yang lama. Tapi semua itu bukan masalah besar jika kita ikhlas dalam perjuangan.

“Suka atau tidak saya perlu mengasah bakat lakonan dengan lebih cepat. Saya tak mahu tertinggal jauh di belakang memandangkan ramai pelakon baharu yang muncul.

“Dalam setiap lapangan yang diceburi, kualiti paling penting. Kalau saya menunjukkan kualiti lakonan yang baik, tidak ada sebab untuk saya gagal mengejar impian dalam bidang ini,” ungkap Mia lagi.