Menyedari persaingan yang harus ditempuhi bukan semudah memetik daun di pohon rendang, penyanyi rap, RJ melangkah dengan cara berbeza. Dia berdiri di atas percaturan sendiri.

Populariti bukan objektif utama RJ dalam kelangsungan kerjayanya. Dia lebih suka bergerak dengan bakat dan jiwa muzik yang berkualiti serta ada intipati seni yang jarang dimiliki oleh penyanyi.

Mengakui kelemahan utamanya adalah media sosial, Helmy Hamdan beranggapan, seseorang anak seni itu perlu tahu arah tujuan dan misi utama mereka menceburi bidang seni.

“Kalau cakap fasal populariti, memang saya agak lemah. Kurang popular di laman sosial. Tetapi itu tidak menjadi masalah kerana semuanya bergantung kepada niat seorang anak seni tersebut.

“Sama ada karya atau perniagaan yang menjadi keutamaan. Ada segelintir artis yang lemah di media sosial tetapi kualiti seninya sangat bagus. Perkara ini agak subjektif untuk dibicarakan.

“Bukan hendak kata saya bagus atau merendah-rendahkan artis yang lain. Tetapi pucuk pangkalnya, terpulang kepada niat seorang artis itu. Apa yang mereka mahu potretkan sebagai anak seni?” katanya memulakan bicara.

Bergerak sebagai penyanyi sepenuh masa selepas berhenti kerja sebagai pegawai perhubungan awam, RJ yang merupakan singkatan kepada Rakyat Jelata memberi fokus seratus peratus untuk mengatur langkah seninya.

Mahu mengubah landskap muzik tanah air sedikit demi sedikit, RJ merasakan muzik tempatan seolah-olah tidak memberi ‘nyawa’ atau motivasi kepada pendengar untuk meneruskan hidup.

“Lagu sekarang kalau kita perhatikan seolah-olah tak ada memberi harapan.

“Putus cinta, meratap terus. Sebab itu ada pendengar yang tidak berminat mendengar lagu-lagu Melayu.

“Kita kena ubah budaya itu. Sebab itu saya sangat menitik beratkan jalan cerita sesebuah lagu supaya ada objektifnya sendiri.

“Tidak mahu terlalu mengikut peredaran muzik sekarang,” katanya yang juga seorang pelakon.

Dunia Fantasi kisah hidup RJ

Tampil dengan single baharu, Dunia Fantasi, RJ mendedahkan lagu tersebut merupakan kisah hidupnya. Dikhianati kekasih dan bangkit selepas itu adalah kunci utama jalan cerita lagu tersebut.

Tidak mahu mendedahkan gerangan wanita yang melukakan hatinya, lelaki berusia 33 tahun ini membulatkan semangat untuk tidak terlalu memikirkan soal peribadi sebaliknya memberi fokus kepada kerjaya.

“Lagu tersebut berkisar tentang pengkhianatan. Memang secara jujurnya, perkara tersebut berlaku dalam hidup saya. Malah muzik video lagu itu juga boleh dianggap sebagai luahan hati saya.

“Tapi siapa individu tersebut, biarlah rahsia. Kami masing-masing sudah meneruskan hidup dan yang berlaku adalah satu kenangan yang akan dijadikan pengajaran pada masa hadapan,” katanya.

Berduet dengan Mark Adam menerusi lagu Dunia Fantasi tatkala diaju soalan mengada penyanyi kelahiran Filipina itu dipilih, RJ berkata, suara yang dimilki Mark sesuai dengan lagu tersebut.

Malah dia diberi kebebasan oleh komposer lagu itu, DJ Fuzz untuk membentuk vokal Mark seperti yang diinginkan. Peluang tersebut digunakan sebaik mungkin untuk menghasilkan yang terbaik.

“Apabila DJ Fuzz beri kebebasan itu, pada mulanya saya terkejut juga. Iyalah, siapa saya untuk ‘mengajar’ Mark yang merupakan seorang guru vokal. Tapi Mark seorang yang profesional.

“Jadi peminat boleh mendengar sendiri perbezaan suara dan vokal yang ditampilkan oleh Mark. Itu adalah salah satu strategi kami untuk menarik lebih ramai peminat,” katanya yang turut pernah menjalinkan kolaborasi dengan Tasha Manshahar dan Black.

Tidak hanya bergelar penyanyi, RJ juga meluaskan sayap seninya dengan mencuba nasib di lapangan lakonan.

Menganggap tawaran diterima sebagai rezeki yang disyukuri, RJ cuba memberikan yang terbaik dalam bidang tersebut.

Bakal terlibat dengan drama Seputih Cinta Rembulan yang akan ditayangkan awal tahun depan, RJ juga pernah terlibat dengan beberapa drama antaranya Papa Ricky dan banyak lagi.

“Bila saya berhenti kerja sebagai PR, tawaran itu terus datang dan tanpa berfikir panjang saya sahut cabaran tersebut. Alhamdulillah, ada tawaran cuma saya kena bahagi masa juga antara nyanyian dan lakonan,” katanya.

Tidak mahu tergesa-gesa dalam mengeluarkan album solo pertamanya, Rj berkata, dia tidak mahu mengambil risiko apatah lagi peminat lebih memilih untuk mendengar muzik secara digital.

“Kalau ikutkan, memang saya sudah cukup 12 lagu untuk sebuah album cuma bagi saya, sekarang bukan masa sesuai. Peminat kita tidak menyokong pembelian album secara fizikal.

“Selepas ini, saya akan cuba untuk menyanyikan lagu yang lebih catchy dan santai. Sebelum ini, ramai cakap saya hanya nyanyi lagu serius dan mendalam maksudnya,” katanya.