Populariti filem yang diadaptasi daripada novel Fauziah Ashari memang tidak dapat disangkal. Mungkin Osman memasang niat untuk mengembalikan sambutan penonton sama seperti filem Ombak Rindu, dia menghasilkan filem Langit Cinta. Dijangka ditayangkan awal tahun ini.

Sarat dengan cerita cinta dan air mata, Osman menggarap Langit Cinta dengan mempertaruhkan artis seperti Fazura, Keith Foo, Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Farid Kamil dan Siti Saleha. Populariti pelakon ini bagi masyarakat Melayu dijangka mampu menarik penonton untuk menyelami kisah cinta ini.

Selain jalan cerita, Osman juga menitikberatkan aspek sinematografi. Menerusi filem Langit Cinta, salah satu lokasi pilihannya adalah Pulau Tuba, Langkawi, Kedah yang dianggap lokasi terbaik dan sesuai untuk menjalankan penggambaran filem ini.

Tentu sekali ada cabaran yang perlu ditempuh oleh Osman dan krew produksinya di pulau tersebut. Namun bagi menjadikan imaginasinya terhadap keseluruhan jalan cerita menjadi, tiada apa yang mustahil bagi Osman termasuk mendirikan sebuah rumah kampung yang digunakan sepanjang penggambaran ini.

“Dalam bayangan, saya mahu mencari sebuah pulau terpencil yang mempunyai rumah papan di tepi laut. Konsep rumah itu sangat berbeza sehingga saya dan seluruh tenaga produksi sepakat untuk membina sebuah rumah baru yang terletak di tepi laut. Rumah itu juga perlu dilengkapi dengan jeti sebab ada babak yang menyaksikan Fazura akan menunggu kepulangan suaminya di jeti tersebut.

“Tiga minggu juga kami ambil masa untuk bina rumah tersebut. Tak cuma itu, kami juga berdepan dengan kesukaran bila terpaksa membawa kelengkapan penggambaran menggunakan kapal kargo ke pulau ini.

“Kami tiada pilihan kerana segala peralatan dan sumber jana kuasa elektrik di sini juga terhad. Mahu atau tidak, kami terpaksa bawa semuanya daripada tanah besar untuk ke pulau kecil ini,” katanya.

Bercakap soal pemilihan pelakon, Osman mengaku, dia sudah lama inginkan Ogy untuk berlakon di bawah pengarahannya lantaran sudah sekian lama menyimpan rasa kaum terhadap aktres itu.

“Dia adalah antara senarai pelakon senior yang sangat saya kagumi. Rasa bangga juga apabila Ogy sudi untuk bekerja di bawah pengarahan orang muda seperti saya. Saya membesar dengan filem-filem lakonan Ogy. Saya suka dengan lakonannya selama ini.

“Tak cuma Ogy, begitu juga barisan pelakon lain. Contohnya Fazura. Kenapa saya ambil dia berlakon untuk filem ini?

“Saya lihat dia sering membawakan watak wanita urban. Kali ini, saya berikan dia watak wanita kampung dan yakin dia mampu membawakan dengan baik. Ini antara nama-nama besar yang saya mahu lihat bekerjasama dengan saya untuk projek filem ini. Semuanya memberikan sokongan dan kerjasama yang baik sepanjang penggambaran,” katanya.

Dalam pada itu, kata Osman, dia juga sudah merancang strategi untuk memasarkan novel Langit Cinta selepas filem ini menemui penonton. Berbeza dengan Ombak Rindu, Osman mahu penonton melihat filem terlebih dahulu sebelum larut dalam emosi menerusi pembacaan novel yang mengangkat Damya Hanna sebagai penulisnya.

Selain itu, Osman turut menyentuh mengenai penghasilan runut bunyi filem yang kemungkinan besar akan menampilkan Siti Nurhaliza dan Anuar Zain sebagai penyanyinya.

“Saya dah lama menginginkan dua bintang ini untuk menyanyikan lagu runut bunyi filem ini. Pasti akan menghangatkan lagi penghasilan filem ini yang nuansanya tidak lari daripada genre romantis,” katanya.

Memasang impian untuk melihat karya ini mampu berdiri sendiri, kata Osman, dia yakin filem terbitan Astro Shaw ini mampu menarik lebih ramai penonton.

Langit Cinta mengisahkan percintaan antara Alif Zulkarnain (Keith Foo) dengan Khadijah (Fazura). Alif adalah anak yang patuh kepada ibu bapa sejak kecil dan mewarisi perniagaan korporat keluarga. Ketika mahu membangunkan resort di Pulau Perindu, dia jatuh cinta dengan gadis kampung bernama Khadijah.

Dia juga mula mengenali erti kehidupan sebenar dan belajar memahami bahawa kesederhanaan itu indah. Biarpun hubungannya ditentang keluarga, namun Alif nekad memperisterikan Khadijah. Bermula dari situ, kehidupan Alif dirundung pelbagai dugaan dan cabaran demi cabaran harus ditempuh dalam hidup dua insan itu.