Dua pelakon tersebut jauh meninggalkan Mimi Lana dengan mencatat kejayaan dan populariti manakala Mimi Lana masih gigih berusaha menempa nama untuk dikenali.

Di mana silapnya? Jika fizikal menjadi ukuran, Mimi Lana tidak kurang cantiknya. Dengan pakej yang lengkap, wajah cantik dan bertubuh langsing Mimi Lana boleh sahaja memacu populariti dengan mudah.

Namun tidak bagi pemilik nama Mimi Roziana Zainal Abidin. Empat tahun yang diharungi, ditempuhi secara perlahan-lahan tetapi bersulam dengan kesabaran yang bukan sedikit.

“Saya tahu nama saya lambat naik, tidak seperti dua rakan seangkatan, Janna dan Mira. Saya bangga dengan mereka dan tumpang gembira. Tidak ada sekelumit rasa cemburu atau iri hati dengan mereka.

“Saya berpegang pada satu perkara yang jelas iaitu soal rezeki. Semuanya bertitik tolak daripada itu. Empat tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, sudah tertulis yang rezeki saya untuk menyerlahkan nama dalam bidang ini masih belum menjadi.

“Tapi saya percaya akan berkesudahan yang baik-baik. Apabila tiba masa yang tepat dan waktu yang paling sesuai, saya juga akan berpeluang untuk mencipta nama dan dikenali ramai.

“Ada baiknya juga saya masih bertatih dalam bidang ini sebab memberi masa kepada saya untuk mempelajari setiap kekurangan dalam bidang lakonan. Saya anggap empat tahun ini adalah proses pembelajaran yang berterusan.

“Setiap hari yang dilalui sebagai pelakon adalah proses menggali ilmu untuk memantapkan lagi watak dan karakter yang saya lakonkan. Jadi tidak mengapalah andai saya belum punya rezeki untuk popular seperti orang lain.

“Tempoh empat tahun ini saya anggap sebagai terlalu mentah dalam selok-belok dunia lakonan dan terlalu banyak perkara yang perlu saya belajar dan mahir dengannya. Proses belajar tidak akan pernah berhenti,” kata bekas peserta pertandingan Dewi Remaja 2014/2015 ini.

Bakat bukan kontroversi

Tambah Mimi Lana, dia juga mahu peminat filem dan drama mengenalinya berdasarkan bakat dan bukan dipalit dengan kontroversi yang boleh menjejaskan nama baik dan keluarganya.

Tidak mahu mengulas isu lama yang pernah dikaitkan dengan kontroversi ditahan reman dua tahun lalu, Mimi Lana tidak mahu sejarah hitam itu menjadi penghalang untuk dia mengejar impian yang menggunung dalam bidang seni.

“Saya berlakon dengan izin keluarga, sekali gus membawa nama baik mereka. Jadi apa sahaja cerita kontroversi yang boleh menjejaskan imej dan nama baik keluarga saya akan cuba elak dan menguruskannya sebaik mungkin,” kata Mimi Lana.

Bagaimanapun kata pelakon berusia 22 tahun ini, satu perkara yang diperlukan ketika ini ialah mendapatkan watak-watak yang lebih mencabar sementelah dia kerap diberi watak komedi.

“Saya sangat dambakan beraksi dalam sebuah cerita epik seperti Puteri Gunung Ledang. Filem sedemikian sangat istimewa pada mata saya dan sekiranya diberi peluang membawakan watak dalam cerita begitu, saya sangat menghargainya.

“Saya mahu mencuba kepelbagaian watak terutama yang berkaitan dengan permainan emosi tetapi kerap kali pula diberikan watak komedi, contohnya Menantu Second Class dan telefilem Dodol Untuk Menantu.

“Dari dulu, itulah watak saya tetapi tidak mengapa. Saya anggap semuanya adalah perjalanan seni yang saya perlu tempuh dahulu,” kata Mimi Lana yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri 50 episod berjudul Cinta Koko Coklat di samping Zahirah MacWilson dan Aqasha.

Tidak berakhir di situ, selepas ini Mimi Lana akan meneruskan penggambaran drama bersiri 30 episod berjudul Ana Cleopatra bagi tayangan HyppTV.