Begitulah perasaan teruja dan penuh kesyukuran pelakon cantik Uqasha Senrose, 26, yang bakal menunaikan umrah buat kali pertama dari 26 Disember ini hingga 6 Januari 2019.

Bagi Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, peluang ini adalah satu nikmat terbesar dalam hidupnya apabila bakal melihat Kaabah di hadapan mata diiringi insan-insan tercinta yang selalu berada dengannya saat susah dan senang.

Lebih indah apabila tahun baharu 2019 disambut dalam suasana ibadah sebagai tanda kesyukuran.

Uqasha atau lebih mesra disapa sebagai Sha, tidak sabar menanti detik-detik indah menyambut tahun baharu diiringi doa di hadapan Kaabah.

“Alhamdulillah, biasanya tahun baharu Uqasha disambut dengan melihat percikan bunga api, tetapi kali ini Sha bersyukur bakal menikmati saat bahagia yang berganda-ganda di tanah suci.

“Sha sendiri tidak dapat luahkan kegembiraan ini dengan kata-kata. Ia terlalu nikmat. Hanya Allah sahaja yang tahu keterujaan Sha sekarang.

“Selama ini Sha boleh melancong atau bercuti di luar negara seperti London dan Paris, namun, tidak terdetik di hati untuk ke Mekah. Kenapa ya? Itulah persoalan yang mula bermain di fikiran Sha sejak bulan Mei lalu. Ia berlaku secara spontan.

“Sebelum ini sudah lama mama pesan kepada Sha agar kumpul duit untuk mengerjakan umrah. Ketika itu Sha tidak terfikir langsung untuk ke Mekah kerana belum bersedia. Syukur, saatnya bakal tiba tidak lama lagi.

“Apabila terdetik di hati mahu ke sana, Sha terus berbincang dengan keluarga dan menetapkan tarikh tanpa ditangguh lagi. Entah kenapa tiba-tiba hati Sha rasa teringin sangat nak tengok Kaabah,” luah Uqasha yang akan menunaikan umrah bersama lapan ahli keluarganya termasuk ibu serta adik, Nelydia Senrose dan Raisha Rizrose.

Uqasha juga akui bukan mudah untuk menetapkan tarikh ke sana memandangkan dia dan adik-beradiknya yang juga pelakon terikat dengan jadual berlakon yang padat.

“Sejujurnya tidak mudah untuk Sha tetapkan tarikh, apatah lagi Sha sibuk dengan jadual berlakon. Begitu juga dengan Nelydia dan Raisya yang terlibat dengan siri drama yang panjang episodnya.

“Walaupun begitu, Allah permudahkan urusan Sha sekeluarga. Selepas tetapkan tarikh, kami menghadiri kursus umrah, urusan perubatan dan segala urusan passport dan visa berjalan lancar.

“Memang pada mulanya ada sedikit ‘takut’ dalam diri Sha apabila dengar pelbagai kisah yang menakutkan berlaku pada sesetengah jemaah. Tapi Sha kuatkan hati kerana inilah peluang yang tidak patut dilepaskan.

“Dalam masa yang sama, Sha tidak lupa untuk cukupkan solat lima waktu, solat sunat taubat dan banyakkan masa beribadat sebagai persediaan untuk menunaikan umrah,” katanya jujur.