Memikul peranan selaku Pawang Sadewata, kemenangan tersebut nyata satu kejutan buat Norzizi apatah lagi ketika pementasan teater itu, dia sedang hamil lima bulan yang menghadkan pergerakan dan pernafasannya.

“Saya tak letak harapan menggunung kerana sedar pelakon lain yang dicalonkan tidak kurang hebatnya. Lagi pun, walau sudah melakonkan sebaik mungkin watak tersebut, rasanya masih banyak kekurangan.

“Ini kerana disebabkan tengah sarat mengandung, nafas saya jadi pendek sekali gus keadaan itu mengganggu lontaran vokal di pentas.

Bagaimanapun saya berusaha kawal pernafasan sebaik mungkin supaya intonasi dialog saya tidak kedengaran tercungap-cungap,” katanya.

Apapun, Norzizi bersyukur atas pengiktirafan yang diterima namun berasa sedikit ralat kerana tidak dapat naik ke pentas menerima sendiri trofi berkenaan gara-gara bayinya, Anggun Kasih Rupawan yang baru berusia lima bulan tidak sihat.

Menurutnya, pada hari berlangsungnya acara tersebut, dia telah pun berada di dalam dewan majlis tetapi terpaksa bergegas pulang setelah mendapat tahu anaknya itu sakit.

“Trofi ini terlalu sentimental nilainya dan berkait rapat dengan kehadiran Anggun di dunia ini,” tambahnya yang baru sahaja terbabit selaku mentor untuk sebuah pementasan monolog pada 21 Julai lalu di Panggung Eksperimen Universiti Malaya. - UTUSAN ONLINE