Tetapi selepas bersatu sebagai keluarga, ditambah kelahiran putera sulung mereka, Aqeef Anaqi beberapa bulan lalu, Amar dan Amyra belum pernah ditawarkan untuk saling bergandingan.

Kata Amar dan isterinya, perkara itu sebenarnya sedikit melegakan kerana mereka sendiri tidak bersedia untuk bergandingan sebagai suami isteri kerana dibimbangi melanggar hukum.

“Kami sebenarnya lebih selesa kalau tidak ditawarkan berlakon bersama sebagai suami isteri terutama jika membabitkan cerita yang berat.

“Sekiranya ada tawaran untuk kami bergandingan sebagai suami isteri dalam satu drama, yang kami titik beratkan ialah skrip yang tidak melanggar hukum dan isu-isu agama.

“Kalau boleh elak, kami akan cuba elak hal-hal begini.

“Bukan apa, nanti takut menyusahkan orang lain. Kalau diterima awal-awal, sampai masa berlakon dan kita tidak boleh laksanakan seperti dalam skrip nanti menjadi hal yang lain pula.

“Jadi, lebih baik tidak terima tawaran dari awal lagi,” kata Amar.

Namun kata Amyra pula, sekiranya skrip tersebut memaparkan jalan cerita positif yang memaparkan kisah bahagia pasangan suami isteri, perkara tersebut tidak menjadi masalah.

“Apa pun untuk lebih mudah, lebih baik kami berlakon berasingan supaya tidak mendatangkan kesusahan pada hari kemudian,” kata Amyra yang muncul menerusi drama bersiri Nur yang mendapat sambutan hangat peminat hiburan tempatan.

Rezeki Syawal

Pasangan ini juga dilimpahi rezeki sepanjang Ramadan dan Syawal apabila menjadi duta kepada hab fesyen, Prima Valet termasuk Aqeef Anaqi.

“Kami sekeluarga jadi duta Prima Valet. Jadi, kami bertiga ada persalinan sedondon selama sebulan kerana hab fesyen itu menyediakan 30 helai baju sepanjang Syawal.

“Jadi tidak perlu susah-susah cari baju warna sama sebab sudah disediakan semuanya termasuk untuk Anaqi sekali.

“Namun kegembiraan kali ini lebih berganda sebab kali pertama menyambut bersama-sama anak. Tak sabar juga nak membawanya berjumpa saudara-mara,” kata Amyra.

Tidak gundah balik kampung

Mengenai sambutan Syawal, pasangan ini menikmati hari raya dengan tenang dan aman. Tidak seperti orang lain yang perlu bersiap sedia pulang ke kampung halaman yang jauh dari ibu kota,

Ini kerana Amyra Rosli berasal dari Kuala Lumpur, manakala Amar Baharin pula dilahirkan di Kajang, Selangor. Justeru, tahun kedua menyambut raya sebagai suami isteri, terperangkap di dalam kesesakan pulang ke kampung halaman selama berjam-jam tidak pernah dirasakan oleh mereka.

“Mujur kami berdua dari sini. Jadi, tidak ada masalah untuk balik kampung dan tidak perlu memilih kampung mana yang perlu diziarahi dahulu.

“Kami tinggal dengan keluarga saya di Kuala Lumpur. Jadi di sebelah pagi sudah pasti beraya di rumah saya dahulu sebelum berkunjung ke rumah keluarga Amar di Kajang pula.

“Pendek kata, tradisi kunjung-mengunjung ke rumah keluarga terdekat ini boleh selesai dalam masa sehari sahaja. Itu untungnya kami yang tak perlu fikir soal nak balik kampung dan sesak macam orang lain,” kata Amyra disambut ketawa oleh Amar.

Kata Amar, Syawal ini dia turut membawa putera sulung mereka bertemu saudara mara di Semenyiih kerana ada yang belum berkesempatan menatap wajah si comel itu.