KUALA LUMPUR 15 Januari 2019 - Cover CD album Artis Lagenda Pahang yang dilancarkan di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.Berita & Gambar: NAZERI NONG SAMAH (UP: Hiburan Mega, Utusan Malaysia)

Kekal diminati dan berstatus malar segar, tidak hairanlah jika kebanyakan radio tempatan masih memutarkan lagu tersebut hingga ke hari ini.

Menganggap senario yang berlaku sebagai satu keadaan yang seimbang telah membuka mata komposer terkenal Afzainizam Ismail untuk menghasilkan sesuatu kepada industri.

Dia menggabungkan 20 penyanyi terkenal tanah air merakamkan suara dalam album istimewa Artis Legenda Pahang sebagai penutup tirai 2018. Uniknya, lagu-lagu yang dirakam dicetak ke dalam bentuk cakera padat (CD) dan dilancarkan di Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Memilih kebanyakan penyanyi yang berasal dari Pahang sebagai tonggak utama, Afzainizam teruja dan berterima kasih kepada mereka yang menjayakan gerak kerja sehingga terhasilnya album Artis Legenda Pahang.

“Sudah tentu saya bersyukur kerana dengan kejayaan rakaman album ini yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat. Jika dilihat kembali, ini adalah projek khas yang cukup istimewa.

“Apabila dirakamkan semula pastinya saya mengharapkan ia akan menambat hati kebanyakan stesen radio seterusnya sudi memutarkan lagu-lagu yang terkandung dalam album ini,” katanya yang berbangga mencipta sejarah baharu bagi negeri Pahang khususnya.

Sudah berpengalaman luas dalam bidang muzik, Afzainizam pernah menghasilkan lagu Masih Ada Yang Sayang dendangan Nas Atea. Malah kebanyakan lagu ciptaannya juga mendapat tempat dalam hati peminat.

Daripada sekadar idea, ia direalisasikan dengan baik dan mendapat sambutan luar biasa daripada penyanyi sendiri. Sudah tentu sebahagian besar daripada mereka teruja dan berbangga dengan kehadiran album ini.

Dunia hiburan tanah air masih mempunyai ramai bakat terpendam yang tidak diketengahkan.

Ada di antara mereka yang sudah aktif dalam bidang muzik sejak penghujung 1960-an yang sebenarnya masih mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Antara yang menyumbangkan suara termasuklah Siti Fairuz, Linda Ismail, Ally Noor, Mastura, A. Murad Hamid, Azzam Buskers, Khairol Idlan, Nadzeri Abdul Rahim dan Siso.

Dengan terhasilnya album ini pasti akan mengubati kerinduan mereka kepada bidang seni suara dan peminat.

Sudah pasti album yang diterbitkan oleh Persatuan Pencinta Loghat Daerah Negeri Pahang (PPLP) adalah buah tangan terbaik kepada mereka yang menyukai lagu-lagu lama.

Melihatkan seleksi lagu-lagu yang dipilih, kebanyakan lagu malar segar adalah dendangan asal penyanyi terkenal dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Antara lagu lama yang dipilih termasuklah Malam Pesta Muda Mudi yang didendangkan asal Saloma, Di Sudut Bibirmu (Sam Saimon), Keagungan Ilahi (S. Effendi), Rentak 106 (Ahmad CB), Nurlela (Bing Slamet), Hanya Nyanyian (S. Effendi) dan Seruling Anak Gembala (Datuk Jeffrydin).

Afzainizam tidak keseorangan dalam melakukan gerak kerja sebaliknya dia dibantu oleh adiknya, Ikhtiman Ismail yang juga berbakat besar dalam bidang pengubahan lagu. Malah dia juga menciptakan lagu Apo Kona Eh Jang dendangan Ally Noor dan Mastura satu ketika dahulu.

Pelancaran album ini disempurnakan oleh Exco Pahang, Datuk Nazri Ngah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Pulau Tawar yang turut dihadiri kenamaan lain antaranya, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan.

Bagi mereka yang ingin memiliki album Artis Legenda Pahang itu menghubungi talian 014-8067857 atau e-mel kepada [email protected] bagi keterangan lanjut.

Ayo Cucu Jangan Marah Atok (September 5), Bisikan Hati (Siti Fairuz), Harga Sebuah Cinta (Linda Ismail), Panggilan Ilahi (Razak Ahmad), Laguku Untukmu (Khairool Idlan), Titisan Embun Pagi (A. Razak Mahmod), Penggodaan (Nas Atea), Cincin Belah Rotan (Afzainizam Ismail), Serampang Laut (Abdul Razzak Abu Bakar), Selamat Tinggal Bungaku (Yaakob Abdullah), Seruling Anak Gembala (Nadzeri Abd Rahim) dan Gadis Atau Janda (Ally Noor dan Mastura).

Terpisah Akhirnya (Razak Ahmad), Selasihku Sayang (Khairool Idlan dan Siti Fairuz), Malam Pesta Muda Mudi (Linda Ismail), Keagungan Ilahi (Siso), Tinggi Gunung Seribu Janji (Mubarak Razak), Rentak 106 (September 5), Sembawa Balik (Azizah Ngah), Nurlela (Nadzeri Abd Rahim), Mustika Hatiku (Khairool Idlan), Seri Siantan (Abdul Razzak Abu Bakar), Aryati (Afzainizam Ismail) dan Seraut Wajah (Azam Buskers).