Bagaimanapun tawaran lagu Darah Muda itu tidak diterima oleh Ella dan dirakamkan oleh Bunkface sendiri.

Menurut Ella, beliau bukannya menolak mentah-mentah lagu Darah Muda itu tetapi merasakan, lagu tersebut lebih sesuai disampaikan sendiri oleh Bunkface.

“Sebenarnya bukan Ella tolak lagu Darah Muda itu tetapi ketika memilih material untuk dirakamkan, Ella menerima 158 buah lagu. Banyak sangat. Jadi, Ella terpaksa membuat penelitian untuk memilih lagu-lagu bagi album terbaharu Ella,” katanya.

Ella berkata demikian kepada wartawan Utusan Online pada majlis sidang akhbar usai persembahan showcase sempena pelancaran album terbaharu Ella, Peace.Love.Rindu di sini, petang semalam.

Ella berkata, mungkin pada masa akan datang, beliau akan menyanyikan lagu Darah Muda itu, mengikut versi Ella. Bagaimanapun lagu Istimewa ciptaan Sam Bunkface ada dimuatkan dalam album terbaharu Ella yang boleh didapati secara fizikal mulai 25 September ini.

Sementara itu, dalam album yang mengambil masa dua tahun pembikinannya, Ella turut berduet dengan suaminya, Kapten Azhar Ghazali bagi lagu Peace Love Rindu.

Gandingan suara Ella dan Kapten Azhar itu dibisikkan sendiri ke telinga wartawan Utusan Online oleh Kapten Azhar.

Beliau berkata, “Nanti dengarkan trak nombor lapan.”

Ternyata Kapten Azhar mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan keberanian beliau untuk sama-sama menjayakan rakaman album terbaharu Ella, harus dipuji.

Album Peace.Love.Rindu merupakan sebuah album debut yang dinanti-nantikan selama 10 tahun oleh para peminat Ella selepas album ‘terakhirnya’ Rama Rama dipasarkan. - UTUSAN ONLINE