Berkahwin pada 13 September 2014 dengan seorang pelakon Singapura, Azzah Fariha dan dikurniakan anak perempuan bernama Alana yang berusia setahun lebih, Alif menjelaskan bahawa penulisan lirik tersebut adalah secara menyeluruh, tidak ditujukan kepada sesiapa.

“Sebagai seorang manusia, semua tidak lari daripada melakukan kesilapan. Dalam setiap hubungan sama ada suami isteri, pasangan kekasih, adik-beradik atau anak-beranak pasti pernah menempuhi persengketaan. Bersengketa kerana tiada persefahaman.

“Itu yang cuba saya sampaikan dalam lagu ini. Saya berkarya bukan untuk menghentam sesiapa, cuma menyuarakan keadaan yang terjadi di sekeliling kita,” katanya kepada Utusan Online.

Tambah Alif, idea menghasilkan sendiri lagu berkenaan berlaku secara spontan dan keputusannya untuk mengetengahkan isu keganasan rumah tangga adalah bagi mengelakkan klise dalam berkarya.

Menurutnya, lambakan lagu bertemakan cinta sedia ada terlalu disogokkan dengan kisah-kisah indah dan bahagia, sesekali dia cuba lari daripada kebiasaan untuk mencipta kelainan.

“Pun begitu, ini bukanlah kisah rumah tangga saya. Alhamdulillah, setelah berkahwin kira-kira tiga tahun lalu, saya melalui satu fasa kehidupan yang lebih positif dan menggembirakan.

“Salah faham itu perkara biasa. Namun itulah asam garam dalam mematangkan dan mengeratkan sesebuah perhubungan,” katanya.

Sebagai seorang komposer dan produser, Alif juga tidak mahu terlalu ikutkan trend kerana perlu inovatif serta kreatif dalam menggubah sesebuah karya.

Sedar dengan kemunculan lagu-lagu berkonsep lama, pemuda kelahiran Singapura itu ada pendirian dan ketetapan sendiri dalam menghasilkan sesebuah lagu.

“Terkini, saya bakal bekerjasama dengan Ziana Zain untuk single baharunya. Jujurnya, saya juga suka dengar lagu-lagu berentak lama tetapi dalam penciptaan, saya ada cara tersendiri.

“Saya mahu jadi `trendsetter’, bukannya pengikut. Setiap aliran pasti ada penciptanya, itu yang saya mahukan,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE