KYLIE JENNER kini remaja terkaya dunia.

Mempunyai 110 juta pengikut di laman sosial Instagram, Jenner turut dikenali sebagai pengusaha kosmetik paling berjaya ketika ini.

Malah melalui perniagaannya yang dibina selama tiga tahun itu, Jenner yang mencecah usia 21 tahun pada Ogos akan datang bakal dikenali sebagai bilionair paling muda di dunia memecah rekod pemilik Facebook, Mark Zuckerberg yang menjadi bilionair pada umur 23 tahun.

Menerusi majalah Forbes juga selain Kylie Cosmetics, Jenner juga turut menjadi duta kepada beberapa produk antarabangsa yang menjadikan nilai ibu muda ini AS$36 bilion.

Bercakap mengenai kejayaannya ini, Jenner mengakui kemudahan yang ada di media sosial memudahkan dia untuk mendekati pelanggannya.

“Saya mempunyai capaian yang mudah kepada peminat dan pelanggan saya,” katanya kepada majalah Forbes.

Selain itu kejayaan yang dimiliki Jenner sentiasa menjadi inspirasi kepada remaja di luar sana memandangkan empayar perniagaan ini datang melalui hasil titik peluhnya sendiri.

Berkongsi mengenai perancangan masa depan, Jenner mengakui jika anaknya Stormi yang kini berusia enam bulan meminati bidang yang sama, dia tidak teragak-agak untuk membiarkan Stormi mewarisi perniagaannya kelak. - UTUSAN ONLINE