Mengukuhkan lagi takhtanya selaku naskhah paling laris di Malaysia, HKL diramal masih berpotensi merekodkan hasil jualan tiket pada tahap maksimum, sekurang-kurangnya menghampiri angka RM30 juta.

Apatah lagi, cuti persekolahan yang masih bersisa dua hari lagi mungkin akan dimanfaatkan oleh seisi keluarga untuk berhibur menonton wayang.

Rata-rata berpendapat, kejayaan luar biasa yang dicapai oleh produksi HKL berjaya membuka peluang serta memberi harapan kepada pengkarya filem tempatan untuk terus mewarnai kanvas seni negara.

Tak dinafikan, momentum yang dicetuskan barisan tenaga kerja syarikat Astro Shaw dan Infinitus Gold itu dilihat sebagai pemangkin yang mendorong lahirnya karya-karya bermutu tinggi pada masa akan datang.

Walau menyelitkan elemen seram, namun HKL tetap dianggap medium hiburan seisi keluarga kerana Mamat telah menerapkan nilai-nilai murni yang boleh dijadikan pengajaran setiap lapisan usia.

Bahkan, kutipan berganda yang diperoleh adalah petanda positif buat lapangan seni tanah air yang sebelum ini sedikit sendu serta kurang memberangsangkan.

Mengangkat personaliti veteran, Dalimawati untuk mendukung watak Hantu Kak Limah, nama lain yang turut terlibat ialah Datuk Awie, Sharwani, TJ Isa, Ropie, Allahyarham Rab Khalid, Sabri Yunus, Mus May dan Imuda. - UTUSAN ONLINE