Akur dengan kehendak semasa, Imuda atau nama sebenarnya Abdul Rahim Muda, 56, berkata, pelawak atau pelakon komedi era 80-an dan 90-an sepertinya, terpaksa mencari alternatif lain untuk meneruskan hidup terutama bagi menyara keluarga masing-masing.

Dengan nada sedih, Imuda berkata, generasi pelawak sepertinya kurang mendapat peluang kerana stesen televisyen lebih senang mengketengahkan bakat-bakat yang dicungkil daripada program masing-masing.

“Kiranya, pelawak sekarang beruntung kerana mereka ada platform untuk mengembangkan bakat. Sementara kami pula, terpaksa menagih simpati mengharap orang panggil untuk muncul di program anjuran stesen yang sedia ada.

“Disebabkan kekurangan tawaran, saya terpaksa kembali aktif menjadi pelukis seperti mana di awal kemunculan saya dalam bidang seni,” akuinya.

Meskipun kurang mendapat tawaran berlakon, Imuda tidak pernah kering tawaran menjayakan persembahan pentas sama ada sebagai pelawak atau pengacara.

Jelas pelakon yang pernah popular dengan watak Budin menerusi sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, dia sering dipanggil menjayakan persembahan pentas bersama Sathiya atau Sulaiman Yassin yang popular dengan gelaran Mat Over.

“Saya tidak kisah bergandingan dengan sesiapa untuk membuat persembahan, tetapi kerap kali saya digandingkan dengan Sathiya dan Mat Over. Bila sering bersama, kami tidak perlu untuk membuat latihan. Memadai jika masing-masing tahu apa topik atau isu yang nak diketengahkan.

“Untuk buat lawak bukanlah mudah, kita perlu cari kata kunci yang boleh membuat orang ketawa. Di waktu yang sama bahan lawak itu perlu ada isi untuk mendidik penonton atau pendengar,” jelasnya yang lebih senang menjadikan isu semasa sebagai bahan lawak.

Dalam pada itu, kata Imuda, pelawak harus elakkan daripada mempersenda imej atau bentuk badan seseorang kerana perkara itu sangat sensitif dan banyak lagi topik lain yang boleh dijadikan bahan lawak.

Renungan tajam 
di waktu malam

Berkesempatan mengunjunginya di Imudaart Studio, Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, baru-baru ini, pelakon dan pelawak itu tidak lokek untuk berkongsi pengalamannya sebagai pelukis. Kata Imuda, studio yang terletak di tingkat satu itu yang disewa sejak Jun lalu dengan kadar bayaran RM2,000 sebulan.

“Dulu saya buat kerja di rumah. Sekarang ini bila ada studio, perasaan tu lain sikit. Saya boleh duduk di studio ini berjam-jam kerana tidak ada gangguan. Kalau di rumah, sekejap anak panggil dan macam-macam lagi. Di sini, saya melukis sambil mendengar lagu-lagu blues kegemaran saya.

“Untuk sebuah lukisan potret, saya boleh siapkan dalam tempoh dua hari tanpa gangguan. Kalau tengok koleksi potret yang saya buat ini kebanyakan individu yang saya minati. Contohnya, kumpulan The Beatles, hero filem Tamil seperti Sivaji Ganesan dan MGR. Sementara itu, pelakon Melayu yang saya lukis ialah Allahyarham Nordin Ahmad, M. Zain dan ramai lagi.

“Pengarah Mamat Khalid pernah membeli potret MGR yang saya lukis kerana pelakon itu ialah idolanya,” cerita Imuda.

Dia yang menghasilkan lukisan akrilik itu sempat mengadakan pameran solo di Balai Seni Visual Negara (BSVN), dengan mempamerkan kira-kira 60 buah karya lukisan potret, kartun dan karikatur koleksinya pada 15 Jun hingga 31 Julai lalu.

Bercerita lanjut tentang minat melukisnya itu, Imuda berkata, dia tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang lukisan seperti pelukis lain.

“Saya mula melukis sejak kecil, itu pun belajar sendiri. Dulu saya suka lepak di kedai mamak gunting rambut sebab di situ ada komik Beano dan saya suka baca. Dari situlah minat mendalam terhadap lukisan bercambah. Nak belajar melukis macam orang lain, tidak mampu, saya lakar sendiri. Mungkin sebab kesungguhan saya, Allah permudahkan segalanya.

“Sebenarnya melukis potret ini bukanlah mudah sebab kita perlu pastikan lakaran itu nampak macam ‘hidup’, kalau tidak lukisan itu kira kaku. Ada ketikanya, lukisan yang saya buat tidak jadi dan terpaksalah saya buat semula sehingga puas hati,” kata suami kepada Zabarina Ali, 33.

Dek lukisannya nampak seperti ‘hidup’ Imuda berkata, ada masanya tatkala berseorangan di studio, dia seakan melihat banyak mata yang merenung ke arahnya kerana kiri kanan dinding studio itu dihiasi dengan potret pelbagai lapisan selebriti dan tokoh politik.

“Memang terasa seram tapi lama kelamaan sudah biasa, saya tidak merasa apa-apa. Setakat ini studio saya belum ada papan tanda, jadi orang nak datang pun susah. Tapi, kalau siapa yang berminat nak membeli lukisan-lukisan saya boleh lihat di imudaart.blogspot.com. Di situ ada pelbagai lukisan saya dan siap dengan harga sekali.

“Sebenarnya lukisan ni kalau nak dijual secara pos memang renyah sebab banyak benda perlu dilakukan kerana ia barangan sensitif dan mudah rosak. Jadi lebih mudah kalau pembeli datang sendiri. Setakat ini studio saya belum dibuka untuk orang ramai, melainkan kalau orang itu berminat nak beli, barulah saya jemput ke sini untuk lihat lukisan itu,” tambahnya.

komik khas hargai kawan

Dalam pada sibuk melukis potret untuk jualan, Imuda juga sempat menghasilkan komik berjudul Atee? yang diterbitkan khas untuk Allahyarham Zami Ismail atau Pak Uda, rakan lakonnya dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Menurut Imuda, dia pernah memberitahu Zami tentang niatnya untuk menghasilkan komik tanpa dialog yang dituju khas untuk pelakon tersebut, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana pelakon itu kembali ke rahmatullah pada 19 Jun 2011.

“Pada 2013, barulah saya mula melakar karakter Pak Uda. Apa yang saya hasilkan dalam komik ini bukanlah watak yang dilakonkan oleh Allahyarham dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu, sebaliknya adalah imaginasi saya.

“Komik ini saya dedikasikan kepada Allahyarham kerana dia adalah seorang pelakon dan sahabat yang istimewa bagi saya. Untuk permulaan, cetakan pertama adalah sebanyak 1,000 naskhah dan sejak dipasarkan sebulan lalu, jualannya sudah melebihi 100 naskhah.

“Saya tidak jual komik ini di kedai buku. Selalunya saya jual secara langsung di setiap acara yang saya sertai. Di acara berkenaan saya akan menjual komik tersebut dengan harga RM10 untuk 100 muka surat. Saya juga menjual di atas talian dan tempahan boleh dibuat menerusi [email protected],” katanya.

Jelas Imuda, dia sengaja menghasilkan komik yang tidak berdialog kerana setiap lakaran yang dibuat menceritakan apa yang berlaku. Dia mahu komik Atee? menjadi seperti komik bahasa Cina, Old Master Q yang masih diminati hingga kini.

“Saya bercadang untuk menghasilkan Atee? jilid kedua dan seterusnya. Semua itu dalam perancangan dan bergantung kepada jadual kerja saya. Sekurang-kurangnya komik Atee? ini dapat mengembalikan kegemilangan komik Melayu seperti era majalah Gila-Gila dulu.

“Malah rakan-rakan yang sama melukis komik dengan saya dulu pun kurang aktif sekarang. Antara yang seangkatan dengan saya ialah Aie pelukis Aku Hidup Dalam Blues dan Blues Untuk Aku. Macam Ujang pun dah kurang melukis.

Objektif saya menghasilkan komik ini selain sebagai punca pendapatan adalah untuk meneruskan kesinambungan penerbitan komik yang dihasilkan oleh anak tempatan,” akuinya penuh semangat.

Imuda yang mempunyai banyak perancangan itu berkata, selepas komik Atee?, dia bakal menerbitkan komik Hero Sri Wangi yang berkisar tentang watak Mat dan Din yang diilhamkan daripada karakter Mat Deris dan Budin dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang judul asalnya, Flat Seri Wangi. - Gambar JEFRI IRAN

Menyanyi kalau ada tawaran

LAGU Rilek Brader, gandingan Imuda dengan Art Fazil yang dihasilkan pada 2013 tidak dinafikan mendapat sambutan hangat. Malah selepas itu, Imuda turut tampil dengan lagu Blues Nasi Kandar dan Rilek Raya.

Kata bapa kepada Raihana, 20, Muhammad Raezal, 14, dan Muhammad Rayyan Ziqri, 4, setiap kali diundang menjayakan persembahan, lagu-lagu tersebut pasti dinyanyikan.

“Memanglah saya diundang tanpa Art Fazil, tetapi tidak semestinya lagu duet kami tidak boleh saya dendangkan secara solo. Untuk masa akan datang, kalau ada yang tawar saya berduet dan kena dengan caranya, pasti saya terima. Bagi saya, baik berlakon, berlawak, menyanyi dan melukis, semua itu tidak dapat dipisahkan. Selagi terdaya saya akan lakukan dengan sebaik mungkin,” janjinya.

Begitu juga kalau ditawar untuk melakonkan watak lelaki lembut seperti watak Sam yang dilakonkan dalam sitkom 2 + 1, kata Imuda, dia tidak akan menolak. Cuma katanya, sekarang ini mungkin lakonannya tidak akan sehebat dulu disebabkan oleh faktor usia.

“Saya tidak kisah nak bawa watak Sam pada usia sekarang kerana itu semua hanya lakonan. Cuma yang saya risau, tak menjadi seperti dulu. Sekarang ini kalau ada tawaran berlakon pun saya banyak bawa watak pakcik-pakcik. Bagi saya selagi orang panggil berlakon, saya tidak kira watak apa, janji ada peluang,” katanya.