Itu antara kata-kata yang keluar dari mulut penyanyi Amy Mastura yang jujur mengatakan waktunya di rumah dan menguruskan anak-anak kurang.

Namun ibu kepada dua cahaya mata perempuan ini bagaimanapun sentiasa mengambil berat tentang aktiviti anaknya dan menganggap kesibukannya itu hanya sementara waktu sahaja.

“Berlakon teater dengan menyanyi tidak sama. Bila sudah melibatkan diri dalam teater kenalah berikan komitmen kerja yang tinggi supaya hasil kerja dapat puaskan semua orang.

“Tapi saya sering kata kepada keluarga dan diri sendiri bahawa semua ini hanya sementara waktu sahaja dan bukan selamanya,” katanya yang sebelum ini pernah terlibat dalam teater Siti Alam Fantasi.

Jelas Amy, 44, dia sememangnya seronok menjayakan mana-mana teater yang ditawarkan kepadanya kerana baginya sekali gus mampu memperbaiki mutu diri dalam bidang lakonan.

“Saya jadikan juga proses latihan teater sebagai satu pembelajaran buat saya untuk menajamkan bakat lakonan. Sebab kalau dilihat betul-betul, bukan mudah sebenarnya menjayakan sesuatu teater.

“Teater ini kita boleh belajar lebih sikit tentang macam mana hendak tarik nafas dan cara kawal pernafasan. Semua itu diambil kira dan diberikan penekanan,” jelasnya.

Tambah Amy lagi, bukan itu sahaja, faktor sekeliling dan suasana ketika sesi latihan teater juga memainkan peranan penting bagi mewujudkan suasana yang tenang dan ceria.

Atas dasar itu jugalah dia menerima tawaran untuk berlakon buat kali kedua dalam teater Diari Wanita Episod YB dan Nyonya. Peranan wataknya juga sama iaitu sebagai Keponakan Anggun.

“Teater ini kadang-kadang yang buatkan kita rindu ialah suasana dan keakraban antara pelakon dan produksi terlibat.

“Sebab itu saya tidak teragak-agak untuk terima tawaran dari produksi CTRA Production dan kebetulan juga jadual kerja saya tidak terlalu padat.

“Bukan apa, perasaan bekerja dengan orang yang kita kenal ini lain sangat rasanya. Kita akan jadi lebih mesra dan secara tidak langsung saya sudah tahu cara kerja pelakon lain,” ungkapnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan karier nyanyiannya pula, Amy kini sedang dalam proses untuk melancarkan single terbaharu berjudul Menarilerr tidak lama lagi.

“Menyentuh mengenai single terbaharu, saya baru sahaja siap rakamkan lagu baharu iaitu “Menari Lerr”. Lagu itu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Ardif Johari.

“Lagu ini masih mengekalkan rentak yang sama seperti lagu-lagu nyanyian saya sebelum ini iaitu pop. Saya memang menanti untuk lagu ini diperdengarkan kepada semua pendengar.

“Buat masa ini saya lebih selesa untuk keluarkan single dan masih belum terfikir untuk mengeluarkan album kerana memikirkan industri seni tanah air yang masih lagi belum stabil. Lagipun sekarang ini saya lihat peminat lebih gemar mendengar single terbaharu terlebih dahulu,” tutur Amy.