Sebaliknya, pemuda berasal dari Johor Bahru, Johor tersebut begitu mengagumi penyanyi lagu Akhirnya Cinta itu disebabkan kelunakan suara yang dimiliki, selain berkebolehan dalam menjiwai sesebuah karya.

"Setiap kali Salma membuat persembahan, dia berjaya mempersembahkan lagu tersebut dengan begitu baik. Saya dapatkan merasai perasaan yang disampaikan menerusi lagu nyanyiannya.

"Bukan itu sahaja, dia juga ada aura tersendiri yang membuatkan audiens terpegun kaku menyaksikan persembahan dari awal hingga akhir. Itulah yang didambakan dalam diri setiap penyanyi termasuk saya," katanya memberi pujian.

Bernaung di bawah syarikat rakaman milik Edrie Hashim iaitu Neo Gendang Records, Kudien baru sahaja mengeluarkan single sulung berjudul Ruangan Gelap Gerhana bergenre rock hasil ciptaan komposer terkenal itu, manakala lirik ditulis oleh Ad Samad.

Katanya, single tersebut dilancarkan tiga bulan lalu dan menerima maklum balas yang baik daripada pendengar, namun memerlukan pendedahan maksimum terutama menerusi kerjasama yang diberikan oleh pihak stesen radio.

Menurut Kudien, dia bersedia untuk menempuhi ranjau liku bergelar anak seni sebelum berjaya menempa kejayaan seperti yang dicapai idolanya, Awie Wings.

"Sekarang ini memang ramai penyanyi baharu yang mewarnai industri muzik tanah air. Kebanyakan daripada mereka mempunyai bakat yang tidak boleh diperkecil atau diperlekeh.

"Jadi saya berusaha mencari ruang terbaik untuk mempamerkan kebolehan diri ini. Tidak boleh mengharap tuah semata-mata," ujarnya.

Medium seperti media sosial dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kudien untuk memperdengarkan lagu tersebut dengan harapan agar karier seni yang diceburi dapat diperkembangkan meluas. - UTUSAN ONLINE