Saya tidak menafikan wujudnya penulisan skrip dan pementasan drama seperti yang saudara Fasyali Fadzly perturunkan. Saya sedar adanya watak seperti Norzizi Zulkifli dan Namron adalah penggiat mutakhir dan kesinambungan dramatis silam.

Stor Teater DBP juga mempunyai sejarah tersendiri. Stor Teater adalah atas inisiatif A. Wahab Hamzah sebagai tenaga penggeraknya, pernah mementaskan Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said, Noordin Hassan dengan Sarah dan Dinsman mementaskan Tamu Dari Medan Perang. Saudara Fasyali Fadzly juga terlibat sama.

Kemudian muncul grup kecil, yang melangsungkan konsep Stor Teater tersebut di tangan Ridhwan Saidi dan Khairi Anuar. Lalu Fasyali Fadzly mengajak hadir ke panggung-panggung kecil dan sempit bagi mencari makna teater.

Sumbangan Stor Teater besar, malah tiada disebut oleh Fasyali Fadzly tentang drama mono dan drama monolog, yang juga pernah mempunyai zaman emasnya. Kemudian dinyatakan, kini ada beberapa anak muda yang meneruskan berteater secara kecil-kecilan dan tidak mengharap bantuan kerajaan.

Saya katakan bukannya tidak ada pementasan yang dilakukan terutamanya yang bertaraf hebat; namun kadarnya sangat minimum, itu pun asyik mengulang-ngulang skrip- skrip yang sudah lama. Kita merindui teks-teks drama dan pementasan teater yang dapat memberikan kuasa baru kepada budaya pendramaan. Kita memerlukan persembahan yang menggunakan prinsip naratif dramatik dan bersumberkan teatrikalitinya.

Yang dituntut ialah bukannya drama secara kecilan tetapi yang bermakna dan hebat. Di sinilah perbezaan idealisme pendramaan, yang saya utarakan iaitu menuntut skrip bermutu dan teater yang kuat. Bukannya terletak pada kuantiti tetapi pada kualitinya. Apalah ertinya sebanyak 150 pementasan dilakukan, tetapi sangat sedikit yang mencapai taraf unggul.

Hal sama berlaku pada genre novel seperti yang diutarakan oleh Johan Jaaffar, Hilangnya Novel Bermutu dalam Dewan Sastera, November 2018. Berlaku lambakan novel, tetapi sarat dengan muatan cinta asmara picisan dan rendah nilai sasteranya. Teks-teks tersebut banyak digarap penulis muda.

Dalam kalangan penganut teori intertekstualiti berpendapat, bagi penulisan genre drama dikatakan semakin tebal usia semakin tebal mutu karya. Contohnya, Shakespeare, Moleire, Ibsen dan Beckett, karya-karya besar mereka dihasilkan di penghujung pengkaryaan.

Penulisan drama memerlukan kekayaan dan himpunan pemikiran serta gaya yang termantap dan hanya dapat dikuasai setelah sekian lama berkarya. Dikatakan ramai penulis muda tetapi saudara Fasyali Fadzly mengakui mereka tidak hebat. Dalam konteks inilah apabila saya menyebut beberapa dramatis besar kita sudah menghilang tetapi setakat ini belum ada penggantinya.

Dalam catatan pengarang drama sepanjang zaman, hasil penyelidikan dan penilaian, Dewan Bahasa dan Pustaka meletakkan nama 25 orang dramatis pilihan. Sepuluh orang daripadanya sebagai dramatis unggul iaitu Shahrom Hussain, Kala Dewata, Usman Awang, Noordin Hasssan, Johan Jaaffar, Hatta Azad Khan, Mana Sikana, Wan Ahmad Ismail, Zakaria Ariffin dan Ismail Kassan.

Ismail Kassan adalah dramatis 1980-1990-an yang dianggap tokoh dan unggul yang terakhir. Sejak daripada itu kita gagal melahirkan tokoh dalam drama. Ertinya hampir 20 tahun kita belum menemui tokoh drama baru. Untuk dipilih sebagai dramatis unggul syaratnya ialah menghasilkan skrip drama unggul, dan melakukan pementasan yang unggul.

Cuba bayangkan berapa lama kita sudah ketandusan pendramaan hebat tanah air? Pencapaian keunggulan adalah sebuah proses penciptaan karya, yang bermula sejak awal hingga mutakhir. Menghasilkan teks idealistik hasrat setiap pengarang sepanjang zaman; tetapi dalam usaha itu tidak semua mencapai apa yang dicita-citakan.

Terdapat ramai penulis terjebak ke dalam apa yang diistilahkan sebagai teks ideogram, iaitu melangsungkan wacana apa yang pernah dihasilkan orang tanpa adanya unsur-unsur pembaharuan. Ada juga karya disebut oleh Brecht sebagai apparatus atau Foucault sebagai dispositive, yang tidak menyumbang mutu pengkaryaan dan tidak dimasukkan dalam senarai karya hebat.

Teks-teks ideogram bergerak dalam formula yang stereotaip, perulangan begini akan menghancurkan kreativiti seorang pengarang, kerana betapa banyaknya teks yang dihasilkan, tetapi tidak akan menganjakkan peradigma penulisannya. Sebagai pengarang ia tidak akan menjadi dewasa.

Melakukan pelanggaran dan mengukuhkannya adalah dituntut, di samping keperluan keberanian dan kebijaksanaan.

Kita berbangga dengan banyaknya pementasan berskala kecil dan mengharapkan kegiatan itu diteruskan. Justeru daripada awalan secara kecil-kecilan, akhirnya dapat menghasilkan drama besar dan serius. Apa lagi anak muda sekarang dikatakan bijak mengatasi urusan perbelanjaan dan tidak mengharap DBP dan ITBM.

Namun jangan selamanya kecilan sahaja, apa lagi hanya mengikut jejak Dinsman, Syed Alwi dan Bidin Subari. Aliran absurd dapat dilanjutkan, tetapi harus sedar, ia sudah melangkaui ke daerah gaya radikal.

Menarik juga mengikut corak Syed Alwi yang rinci dan magis, supaya ia dapat dikembangkan sejajar dengan paralelisme realisme magis Melayu. Di penghujung hayat Bidin Subari pula, humornya merentas aliran naturalisme, yang masuk ke dalam gejolak batin dan falsafah watak-wataknya. Meminjam sememangnya suatu mekanisme berkarya, tetapi sebaiknya harus dilakukan intertekstual, parodi atau metahistoriografik supaya terjamin keaslian dan autensitinya.

Namun, yang lebih penting berjaya menggambarkan jiwa dan batin orang-orang Melayu dan di dalamnya jejak kepada dramatika sastera Melayu. Dramatis sebenarnya perlu memiliki strategi tekstualisme sendiri untuk membina jati jati diri dan individualisme.

MAGIS

Seterusnya Fasyali Fadzly kesal terhadap dunia kritikan, yang menyebabkan kegiatan berteater kini terpendam. Pengkritik senior tidak bersimpati dan asyik bernostalgia dengan pendramaan masa silam. Dan terjadi jurang generasi.

Jika demikian halnya, mengapa tidak dimunculkan pengkritik dalam kalangan generasi muda, seperti yang dilakukan oleh genre puisi dan prosa pascamoden. Dalam kalangan mereka lahir pengkritik seperti Saleeh Rahamad, Awang Azman Awang Pawi, Nordin Saad, Saifulizan Yahaya dan ramai lagi menjadi jurubiacara penulis zaman mutakhir.

Kritikan drama mempunyai tiga corak, iaitu pertama bersifat penskripan yang menganalisis secara tekstual dan mengaplikasi teori sastera. Kedua, kajian performans atau persembahan, yang membicarakan aspek transformasi teks ke pentas, mutu pengarahan, nilai lakonan dan fungsionalisasi reka bentuk latar, kostum, penata-cahayaan, audio dan tempo.

Ia menggunakan pelbagai teori arahan, lakonan dan aspek teknikal teater. Ketiga, gabungan antara penskripan dan performans, dianalisis secara eklektikal, integrasi atau kolaborasi. Sebenarnya kedudukan kritikan drama tanah air mempunyai tradisi yang baik.

Jika dibandingkan kedudukannya di Nusantara, Malaysia di tempat kedua selepas Indonesia dan meninggalkan Singapura dan Brunei.

Sejak dekad 1960-an sehingga ke zaman kegersangan drama hebat sekarang, kita mempunyai barisan pengkritik dan pengkaji drama yang mapan. Saya telah melakukan penyelidikan dan dapatannya diterbitkan dalam Drama Nusantara: Kajian Bandingan Sejarah dan Kritikan, DBP 2017. Dalam kritikan di mana dan di zaman apa pun, kaedah “kritikan memilih” menjadi amalan, iaitu tidak semua karya mendapat sentuhan pengkritik, hanya yang mencapai kelebihan dan mempunyai kelainan.

Untuk menyatakan tidak dipedulikan kegiatan drama anak-anak muda, tidak juga sepenuhnya benar. Banyak penyelidikan, berupa projek, latihan ilmiah, tesis sarjana dan kedoktoran yang mewacanakan teater mutakhir. Kebanyakan drama Dewan Sastera dan pementasan pilihan menjadi subjek kajian. Cuma, ia berlegar di sekitar menara gading.

Fasyali Fadzly bertanya, berapa banyak teater yang saya tonton pada tahun ini? Saya akui tidak banyak drama yang saya tonton. Hanya menonton drama pilihan dan tertunggu-tunggu drama hebat dipentaskan.

Sebagai seseorang yang pernah muda, saya banyak menonton drama 1960-an hingga 1990-an. Saya membuat ulasan dan kritikannya di akhbar yang waktu itu ada ruangannya. Pada 1960-an sahaja, zaman prolifik, hampir 500 skrip realisme dipentaskan, 1970-an sekitar 500 pementasan absurd dan 1980-an pementasan sudah mula gersang.

Boleh dikatakan kebanyakan skrip drama saya baca dan kaji, serta mengikuti perkembangannya kerana drama adalah bidang kajian utama saya, dan mengajar drama di universiti. Perkembangan keseluruhan sejarah drama tanah air hingga mutahir saya tulis dalam buku Di Atas Pentas Drama Melayu Pascamoden terbitan ITBM 2017.

Saya sangat menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan anak muda sekarang. Yang saya suarakan ialah saya merindui skrip hebat dan pementasan unggul seperti yang berlaku dekad-dekad yang lalu.

Bagaimana kalau saudara Fasyali Fadzly sendiri mulakan dengan menulis skrip drama yang besar dan serius, lalu mementaskannya dengan hebatnya. Kuasa baru dalam drama Melayu pasca moden haruslah ditegakkan.