KHIR MOHD NOOR

Meski kelibat mereka tidak tertakluk di hadapan kamera, aspek penampilan diri dan budaya di tempat kerja juga harus dipandang serius demi melahirkan penggiat seni yang progresif.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) Kapten (K) Khir Mohd. Noor berkata, dengan menghadiri bengkel latihan yang dianjurkan ia dilihat mampu memberi peluang cerah dalam membantu ekonomi negara.

“Kalau pelakon kena pergi kelas lakonan untuk memantapkan bakat seni dan menimba ilmu begitu juga pekerja belakang tabir. Mereka juga kena ada pengetahuan tentang kerja-kerja di belakang tabir.

“Orang mungkin melihat ia satu kerjaya yang senang tetapi hakikatnya tidak mudah seperti yang difikirkan. Menerusi kerjaya ini, mereka juga diberi sijil yang akan mengiktiraf kehadiran serta tahap keseriusan dalam menghasilkan karya-karya bertaraf antarabangsa,” katanya kepada UTUSAN ONLINE.

Dalam masa yang sama, Khir juga menegur sikap sesetengah kru produksi agar menjaga penampilan sepanjang kerja penggambaran di lokasi.

“Saya pernah tegur seorang kru produksi di sebuah set penggambaran. Dia hanya pakai selipar datang ke tempat kerja sedangkan ia merupakan satu kesalahan bagi seorang penggiat seni belakang tabir.

“Saya lihat budaya bekerja dengan memakai pakaian kemas selain menjaga penampilan sudah semakin hilang dalam kalangan mereka.

“Itu pentingnya latihan belakang tabir dan setakat hari ini Finas tidak pernah menolak untuk beri dana atas usaha kami,” ujarnya lagi.

Khir ditemui ketika majlis mesra media Anugerah Profima yang akan berlangsung pada 6 November ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula pukul 8 malam.

Anugerah yang ke-11 anjuran Profima ini diadakan bagi menghargai insan-insan yang terlibat di belakang tabir dalam penerbitan sesebuah karya seni.

“Pekerja belakang tabir ini kurang dipandang orang berbanding mereka yang berada di hadapan lensa kamera. Jadi, siapa lagi yang akan mengangkat golongan ini kalau bukan persatuan seperti kami sedangkan mereka juga menyumbang kepada ekonomi negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE