Kritikan negatif adalah salah satu sumber untuk SonaOne meningkatkan kemampuan dirinya

MAHU menghasilkan karya yang lebih baik daripada pelbagai sudut. 2
MAHU menghasilkan karya yang lebih baik daripada pelbagai sudut.

Nama SonaOne tidaklah begitu dikenali sebelum ini. Namun, setelah menjuarai salah sebuah anugerah muzik, namanya terus menjadi bualan.

Malah, impak kemenangan itu sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepadanya bukan sahaja dalam kehidupan seharian, tetapi juga hasil kerjanya dalam muzik.

“Kalau dahulu, tulis lagu memang senanglah. Tetapi sekarang ini kalau nak tulis memang ada tekanan sebab kalau keluar, ramai yang akan dengar.

“Pada mulanya agak kekok juga tetapi saya perlu berhadapan dengan situasi ini untuk meningkatkan lagi kemampuan saya,” jelasnya.

Namun, jelas SonaOne, suaranya dalam industri masih lagi kecil dan banyak lagi perkara yang dia perlu belajar.

“Buat masa ini, apa sahaja kritikan negatif terhadap karya saya memang saya terima sebagai satu bentuk pengajaran kepada saya,” katanya.

Tambah jejaka itu lagi, dia tidak perlu melatah dengan setiap komen negatif kerana perkara itu penting untuk membentuk karya yang lebih baik.

“Kita tidak boleh sentiasa berpuas hati dengan karya sendiri. Perlu sentiasa mengambil pendapat orang lain kerana akan didengari oleh masyarakat.

“Tipulah kalau saya tidak merasa sakit hati dengan komen negatif. Tetapi cuma seketika sahaja dan tidaklah sampai nak memendam perasaan,” jelasnya.

Menurut SonaOne lagi, pernah juga dia merasa mahu berhenti daripada menghasilkan karya muzik tetapi konflik perasaan itu tidak berpanjangan.

“Sebenarnya ia bersifat peribadi kerana komen negatif itu datang daripada saya sendiri. Bila saya buat lagu, saya sendiri kritik dan bila tidak berpuas hati, itu yang buat saya rasa nak berhenti,” jelasnya.

Tambah SonaOne, ketika ini ramai yang sudah mengenali dirinya dan dia perlu menghasilkan karya yang berkualiti daripada semua aspek.

“Memang ada tekanan apabila hendak menghasilkan sebuah karya yang terbaik tetapi itu satu tuntutan buat saya sebagai seorang pemuzik,” jelasnya.

Tambahnya, hip hop di negara ini mempunyai kitaran sendiri sejak dari tahun 80-an.

“Ketika itu ada kumpulan hip hop seperti 4U2C, KRU dan sebagainya. Selepas itu hip hop jatuh semula sebelum bangkit kembali dengan Too Phat, Teh Tarik Crew dan ramai lagi.

“Saya merasakan ketika ini adalah kebangkitan hip hop yang ketiga dan rasanya kali ini boleh kekal untuk masa lama kerana hip hop semakin diterima ramai,” jelasnya.

Tambahnya, dia sendiri sentiasa berusaha untuk mempelbagaikan lagi muzik hip hop supaya dapat diterima lebih ramai pendengar.

Tumpang populariti Joe Flizzow

Lagu yang menaikkan nama SonaOne kebanyakannya bergandingan dengan Joe Flizzow. Lantas, ada yang menganggap SonaOne menumpang populariti Joe.

Bagi SonaOne, mengenai tumpang populariti, dia mengakui perkara itu tetapi ia turut disertakan dengan usahanya sendiri.

“Saya dan semua yang lain di Kartel sudah ibarat satu keluarga. Nama Joe sedikit sebanyak membantu untuk mendedahkan lagi nama saya dalam industri.

“Tetapi saya tidak pernah menggunakan nama Joe untuk naik dalam industri. Ia lebih kepada usaha saya sejak daripada tahun 2008 lagi,” jelasnya.

Jelasnya, banyak yang dia belajar daripada Joe sejak dia bermula sehinggalah kini.

“Lagu pertama saya bersama dengan Joe keluar pada tahun 2010. Ketika itu, saya masih lagi baharu dalam industri dan rap pun guna bahasa Inggeris.

“Daripada situ, saya mula ikut dia. Lihat macam mana dia kerja menghasilkan lagu di studio dan mengeluarkan album.

“Banyak yang saya belajar daripadanya. Saya memang menggunakan Joe untuk mendapat ilmu tetapi untuk menaikkan nama dalam industri, itu adalah hasil usaha saya dan Kartel,” jelasnya.

Tumpang populariti Joe Flizzow

Bercerita tentang perkembangan terbaharunya, jelas SonaOne, dia baru menghabiskan sesi rakaman untuk program Hip Hop In Asia.

“Program itu adalah musim kedua selepas Joe untuk musim pertama dan dijangka akan ditayangkan pada bulan Mei ini di saluran 8TV.

“Masih mengekalkan konsep yang sama, tetapi kali ini saya pergi bertemu dengan penggiat hip hop di negara yang tidak dilawati sebelum ini,” jelasnya.

Negara yang dilawati untuk musim kedua ini termasuklah Korea, Lebanon, Cambodia, India, China, Mongolia dan Singapura.

“Berada di sana, saya bertemu dengan rapper, DJ, Grafiti Artis dan ia sesuatu yang menarik kerana saya dapat bertukar pandangan dengan mereka tentang Hip Hop.

“Sebaik sahaja selesai rakaman itu, saya berasa saya sudah kembali jatuh cinta dengan irama hip hop dan mahu terus menghasilkan karya,” jelasnya.

Tambahnya, ada juga cadangan untuk bekerjasama dengan artis yang dijumpainya tetapi perlu memakan masa dan tidak buat masa ini.

 

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati