Kata Korie, perasaan takut itu bukan datang daripada reaksi penonton atau orang sekeliling sebaliknya ketakutan itu datang daripada Ratu Rock Negara, Ella dan Datuk Awie.

Jelas Korie, beliau merasa amat takut jika Ella dan Awie marah padanya. Walaupun Ella ialah kakak kandung Korie namun atas dasar profesionalisme, Korie diberikan satu tanggung jawab yang besar untuk digalasnya pada persembahan Awie dan Ella di Dinner Gig FUFC The Fighters di Hotel Tenera, Bangi, Selangor pada 7 Disember ini.

“Fuh! Terus terang saya katakan, bukan mudah untuk menjadi pengarah muzik persembahan Ella dan Awie kerana nama-nama itu adalah nama besar dalam industri.

“Akan tetapi, saya perlu beranikan diri dan sahut cabaran untuk menjadi pengarah muzik Dinner Gig Awie dan Ella kerana bagi saya, jika bukan sekarang, bila lagi?,” katanya kepada wartawan Utusan Online, baru-baru ini.

Menurut Korie lagi, apabila beliau ditawarkan tugas sebagai pengarah muzik Dinner Gig yang berkenaan, beliau mengambil masa untuk mempertimbangkan tawaran tersebut sebelum memberikan keputusan sama ada menerima atau menolak.

DINNER Gig
 

Ujar Korie, mungkin orang akan beranggapan, tawaran diberi kepadanya berdasarkan hubungan adik beradik tetapi beliau tidak berfikir seperti itu.

“Ini bukan soal anak beranak atau darah daging tetapi ini soal kerja dan kualiti kerja. Maka itulah, saya harus membuktikan bahawa tawaran yang dilontarkan kepada satu bukan sahaja satu peluang keemasan untuk saya tetapi atas dasar saya mampu menjalankan tugas sebagai pengarah muzik dengan baik.

“Apa yang penting nanti ialah Ella dan Awie puas hati dengan apa yang saya lakukan,” tegasnya.

Korie berkata, pemuzik pengiring yang bakal mengiringi persembahan Dinner Gig FUFC The Fighters nanti dibarisi oleh lima atau enam orang pemuzik termasuk alat muzik bertali, dram, keyboard.

Turut mengiringi persembahan Awie dan Ella ialah barisan penyanyi latar.

Dinner Gig FUFC The Fighters Awie dan Ella turut menampilkan Black Hanifah yang kini sedang giat memperomosikan single terbaharunya berjudul Pot Pet.

Selain daripada Black yang membuat persembahan pembuka tirai, Lord turut diundang untuk mengadakan persembahan. - UTUSAN ONLINE