Antara pengorbanan paling besar yang Fiza lakukan adalah terpaksa melepaskan masa untuk diri sendiri demi kerjaya.

Sekian lama tidak bersua, akhirnya penulis ditemukan lagi dengan si cantik ini dalam majlis pelancaran aplikasi telefon pintar, Apsme di ibu kota baru-baru ini. Fiza seperti biasa kelihatan bersemangat dan tidak menolak untuk diwawancara.

Fiza bersyukur rezeki sentiasa ada dalam bidang pengacaraan. Daripada mengelolakan rancangan CJ Wow Shop sehinggalah bersiaran di konti 1M4U fm, gadis ini boleh dikatakan antara selebriti yang bekerja keras demi kelangsungan kerjaya.

“Saya perlu lebih berusaha, korbankan masa demi kerjaya. Setiap hari, saya bekerja dari pukul 6 pagi sehingga 12 tengah malam. Itu pengorbanan saya untuk bidang yang saya minati.

“Selagi ada rezeki, saya tidak akan menolak. Saya beri sepenuh komitmen, korbankan masa rehat dan bersosial di hujung minggu demi tugas,” katanya kepada S2.

Selain itu, Fiza turut memaklumkan tentang perancangan untuk membangunkan perniagaan sendiri. Katanya, hasrat tersebut masih di peringkat awal.

“Saya gemar menggunakan bandana rambut dan berhasrat memiliki jenama sendiri. Terdapat banyak bandana rambut yang dijual di pasaran. Tetapi untuk mendapat yang berkualiti, cukup sukar.

“Oleh itu, saya bercadang memasarkan koleksi sendiri yang bukan sahaja berkualiti tinggi, malah turut dihasilkan dengan fabrik tradisional seperti songket atau pua kumbu,” ujarnya.

Berbicara tentang cinta, Fiza yang terbuka tentang itu mengakui menjalin hubungan istimewa dengan seorang pemain bola sepak.

Namun, dia memilih merahsiakan identiti jejaka tersebut sehingga tiba masa sesuai untuk berkongsi bersama peminat.

“Sudah kira-kira dua tahun kami bersama. Ramai beranggapan saya seorang yang susah didekati, tetapi berbeza dengannya yang terlebih dahulu menyuarakan keinginan meraih cinta saya. Itu yang membuat saya tertarik dengannya.

“Saya dan dia menjalin hubungan jarak jauh kerana kami tinggal di negeri lain. Kami saling mempercayai dan mengambil berat antara satu dengan lain.

“Saya harap hubungan ini akan berkekalan sampai bila-bila,” jelasnya.