Kopratasa lagukan puisi Rumi

AL-QURAN dan hadis merupakan inti pati yang banyak melingkari karya Mathnawi. Kitab tulisan Jalaluddin Rumi itu mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan. Dengan lebih 27,000 baris ayat, karya yang ditulis pada tahun 1254 itu dianggap antara karya teragung Rumi.

Karya yang berusia 762 tahun itu telah diterjemahkan ke dalam sembilan bahasa. Bahasa Melayu merupakan bahasa ketujuh yang menterjemahkan karya asal dalam bahasa Parsi oleh Prof. Dr. Sayid Ajmal Al-Aidrus.

Kitab dalam gaya penulisan puisi nukilan ulama sufi itu memang hebat kerana ia turut dikaji oleh sarjana Barat sejak sekian lama. Sehingga kini karya itu terus diperkatakan oleh pengkaji. Malah, timbul pelbagai cerita pelik yang kononnya berlaku sewaktu karya itu ditulis.

“Saya dengar puisi itu ditulis dalam keadaan Jalaluddin Rumi tidak sedar. Saya tidak pasti sama ada cerita itu betul ataupun tidak,” kata M. Nasir sewaktu dialog sempena pelancaran album terbaharu Kopratasa, Mathnawi Rumi di Auditorium Institut Integriti Malaysia (IIM), Kuala Lumpur Selasa lalu.

Beliau berbicara atas tajuk Lagu Puisi Sufi: Halwa Telinga Atau Pengisian Jiwa? Bersama dua lagi panel iaitu Pengarah Kanan Pusat Ilmu dan Runding Cara Integriti IIM, Mohd. Nizam Mohd. Ali dan penyelidik dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr. Suzana Suhailawaty Md. Sidek.

Dalam sesi dialog yang dikendalikan moderator Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M Zakir) Mohd. Nizam bercakap mengenai menghayati integriti dalam Mathnawi, manakala Dr. Suzana pula menerusi tajuk Penterjemahan Karya Mathnawi: Cabaran Dan Penghayatan.

M. Nasir berkata, perlu ada keberanian dan keikhlasan dalam usaha semua pihak yang terbabit sebelum Mathnawi itu diterjemahkan ke dalam medium lirik, lagu serta muzik seperti yang biasa dilakukan oleh Kopratasa.

Selama ini ada M. Nasir mahupun Kopratasa sudah biasa bermain dengan puisi-puisi karya pemikir besar Nusantara seperti Hamzah Fansuri. Tetapi Mathnawi dilihat sangat mencabar oleh M. Nasir mahupun Kopratasa.

Dalam Mathnawi, cinta adalah tema terpenting yang diketengahkan dalam karya ini. Rumi cuba menonjolkan bahawa cinta terhadap Allah, Tuhan pencipta sekalian alam dan setiap kejadian menjadi tumpuan Rumi atau nama sebenar Jalal al-Din Muhammad Balkhi ini.

Rumi yang lahir pada 30 September 1207 dan meninggal dunia pada 16 Disember 1273 di Turki banyak mengungkapkan pengamatannya tentang rasa cinta termasuk melalui puisi bertajuk Lagu Seruling. Cinta baginya bukan setakat terhadap sesama manusia, haiwan dan alam semesta tetapi paling utama adalah cinta terhadap Tuhan.

Bait-bait yang amat mendalam dalam karya Rumi itu misalnya berbunyi, ‘Kekasih adalah segala-galanya dan pencinta ialah hijabnya. Kekasih ialah hidup dan pencinta benda mati. Apabila cinta tidak mengacuhkannya, jadilah ia bagaikan burung tanpa sayap, sungguh malang!’.

Dalam konteks ini hubungan antara manusia dengan Tuhan adalah perkara paling banyak yang cuba ditonjolkan dalam karyanya itu. Petikan bait-bait daripada puisi itu antara yang dijadikan lirik dalam lagu berjudul Mathnawi 2 – Seruling 2 dan Mathnawi 5 – Seruling 1 dalam album Kopratasa.

Album yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) itu dianggap sebagai yang paling mencabar kepada Kopratasa setakat ini. Puisi Rumi tidak diolah semula, sebaliknya mengekalkan karya asal yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Jika ahli sufi itu mengambil masa lebih sedekad untuk menyiapkan kitab itu, maka proses menterjemahkan buku itu juga bukan mudah. Menurut Dr. Suzana, pada mulanya ramai yang sangsi dengan kemampuan Prof. Ajmal untuk menterjemahkan kitab itu dalam waktu yang agak singkat.

“Ada yang kata Prof. Ajmal mungkin akan mengambil masa 10 tahun untuk menterjemahkan kitab itu tetapi beliau berjaya melakukannya hanya dalam masa sembilan bulan 23 hari,” ujarnya pada majlis itu yang turut dihadiri Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Sasterawan Negara Kemala dan dan Sasterawan Negara Dr. Anwar Ridhwan.

Kerja menterjemah Mathnawi pada September 2008 akhirnya berjaya disiapkan kemudian diterbitkan sebanyak enam jilid oleh ITBM.

Menariknya, tidak terdapat walau satu perkataan pun dalam bahasa Inggeris yang dimelayukan dan digunakan daripada proses penterjemahan itu. Semuanya dalam bahasa Melayu. Sebenarnya apabila menyelongkar tentang intipati kitab Mathnawi, elemen integriti yang cuba dikaitkan dalam karya ini adalah melangkaui kejujuran sebenar yang didambakan.

Menurut Mohd. Nizam, penyair bertaraf ahli sufi seperti Rumi dilihat seperti mahu menghidupkan integriti dalam dirinya sedangkan ia lebih menjurus kepada ‘menyuluh’ dirinya sendiri agar tidak tandus dengan rahmat dan keredaan daripada Allah.

“Kalau mahu dicari nilai integriti dalam karya Rumi ini mungkin susah ditemui kerana dia sebenarnya cuba menghidupkan dirinya sendiri secara khusus,” jelasnya.

Pada masa sama, bait-bait puisi yang bersambung-sambung antara satu ayat dengan ayat-ayat yang lain mengungkap banyak makna yang mendalam sehingga ia memerlukan perbincangan yang panjang lebar. Justeru, apabila Kopratasa mengambil bait-bait puisi daripada Mathnawi ke dalam album baharu mereka itu, kumpulan yang dianggotai oleh Usop dan Sani Sudin ini mengambil pendekatan yang amat berhati-hati.

Menurut Sani, selain memuatkan hanya bait-bait yang cukup bermakna pengertiannya dan mudah dicerap oleh pendengar, mereka juga tidak sewenang-wenangnya menokok atau menambah sewaktu mengangkat Mathnawi ke dalam album tersebut. Apatah, lagi selepas hampir 10 tahun tanpa album baharu, Mathnawi Rumi boleh dianggap paling mencabar bagi Kopratasa selepas pernah bergelumang dengan pelbagai karya puisi yang tidak kurang puitisnya dalam album-album sebelum ini.

“Kami ambil bait-bait yang mudah untuk dinyanyikan dan pendengar akan pun mudah untuk memahami maknanya. Kami ambil bulat-bulat bait-bait puisi itu untuk dijadikan lirik dalam album ini,” katanya.

Album Mathnawi Rumi yang diedarkan oleh Luncai Emas Sdn. Bhd. ini dijual dengan harga RM30 mengandungi lima buah lagu berjudul Mathnawi 1 – Mawar, Mathnawi 2 – Seruling 2, Mathnawi 3 – Ujud 2, Mathnawi 4 – Ujud 1 dan Mathnawi 5 – Seruling 1. Album itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sejurus selepas majlis sesi dialog tersebut diadakan. Turut hadir ialah Pengarah Urusan ITBM, Mohd. Khair Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Dr. Anis Yusal Yusoff dan Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn. Bhd., Mohd. Khirin Omar atau Keon.

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati