Tidak menjadikan ia kudis yang boleh menjatuhkan semangat, Ayda sedar itu yang harus dihadapinya jika sudah melangkah kaki ke dalam dunia seni. Tapi untuk dia mengalah kepada kata-kata orang pasti tidak mungkin berlaku.

Bagi Ayda, 2018 disifatkan sebagai pengalaman yang mencabar dan mematangkan dirinya. Dalam masa sama dia yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya.

“Rezeki ada di mana-mana dan semua perkara yang terjadi dalam hidup ini ada sebabnya.

“Jika tidak berjaya di satu tempat, ada peluang dan rezeki lain yang datang. Sebagai contoh lagu Mata tidak ke pentas Anugerah Juara Lagu, namun ia menjadi Lagu Terbaik dalam Anugerah Planet Muzik tahun ini.

“Pada tahun ini banyak juga perkara negatif yang berlaku. Mungkin orang akan rasa benci melihat saya selepas mendengar cerita-cerita sekeliling.

“Di sebalik semua itu, saya sentiasa positif menghadapi dugaan. Sebab itu 2018 sangat mencabar dan mematangkan saya,” kata Ayda.

Bagaikan sudah lali dengan kritikan dan kecaman warganet, Ayda tidak mahu ambil serius akan perkara yang dianggap remeh. Berdiam adalah jalan terbaik daripada terus berbalah dalam laman sosial.

“Saya sentiasa baca dan ambil tahu semua komen yang diberikan. Boleh saja saya hendak balas jika ada yang kurang senang dan mudah mengkritik.

“Namun bagi saya, kenapa perlu gaduh dalam media sosial? Baik jumpa dan terus bersemuka. Perkara yang boleh diselesaikan tidak perlu diberitahu kepada umum.

“Meskipun ada kontroversi yang berlaku tahun ini, ia tidak memberi kesan kepada saya.

“Semua itu isu remeh dan tidak menjatuhkan saya. Jadi elok saya lupakan sahaja apa yang berlaku dan terus menghasilkan karya berkualiti.

“Untuk 2019, saya sendiri sukar menjangkakan apa akan berlaku. Saya harap masih kekal dalam industri,” ujarnya.