Kontroversi yang berlaku baru-baru ini benar-benar memercikkan warna baharu dalam kanvas hidup mogul seni dan fesyen tempatan, Neelofa. Ibarat hujan membasahi bumi, begitu rahmat yang tersirat di sebalik yang terjadi.

Tidak sesekali dia mahu membuka cerita itu kembali. Yang berlaku adalah satu ketetapan dan ketentuan Illahi supaya dia dapat menguatkan lagi akar semangat jiwa dan rohaninya.

Kekal positif menjalani hidup, anak kelahiran Kelantan ini terbuka untuk menerima kritikan. Sama ada buruk atau baik, dia himpunkan dalam satu buku untuk dibaca dengan hati yang tenang.

Bersua bicara dengan wanita besi ini, sesekali senyuman di wajah menggambarkan hatinya setenang langit biru. Malah pancaran sinar renung matanya juga mencerminkan pelbagai perkara baharu dipelajari.

Fitnah, kecaman dan serangan bertubi kata-kata nista menguatkan lagi perisai dirinya. Diterjah dengan ‘hukuman’ netizen, dia percaya Tuhan sentiasa bersama-samanya dengan lindungan rahmat.

“Saya gembira dengan diri sendiri, dengan kehidupan dan dengan apa yang ada. Apa pun yang telah terjadi, saya tahu kritikan tetap akan datang. Kekal positif dan kuat melawan itu semua.

“Saya belajar mengenali dengan lebih dalam siapa diri sendiri. Nilai hidup yang dimiliki, kekurangan dan kelebihan. Apa pun orang cakap, tak ada yang boleh mematahkan saya.

“Campaklah fitnah apa pun, kecaman apa pun, itu adalah peluang saya belajar kenali diri lagi. Saya bersyukur Allah datangkan ujian yang tersirat dengan hikmah yang maha besar,” katanya memulakan bicara.

Tenang bicara kata dilontarkan, setenang namanya yang membawa maksud cahaya bunga biru. Tidak jauh bezanya dengan sebelum ini, tegas butir aksara yang disusun menjadi ayat menggambarkan dirinya yang tegar.

Jika diperhati lembaran seninya, Neelofa bukan calang-calang wanita untuk dinafikan kehebatannya. Pencapaian meraih pelbagai anugerah dan penjenamaan namanya dalam dunia keusahawanan sudah terbukti.

Justeru tidak hairan, kontroversi yang berlaku jika dilihat dari sudut positif membuka lebih ruang untuk jenama tudungnya, Naelofar Hijab melebar luas pengaruh ke pasaran antarabangsa.

“Allah Maha Besar, hikmah daripada yang berlaku adalah sesuatu di luar kotak fikiran. Saya mendapat banyak respons daripada usahawan dalam dan luar negara yang kini tahu tentang jenama Naelofar Hijab.

“Malah keluaran baharu Naelofar, Tania juga habis dijual sebelum saya sempat melancarkannya. Saya benar-benar bersyukur,” katanya yang terpalit dengan kontroversi apabila melancarkan keluaran baharu, BeLofa di sebuah kelab malam baru-baru ini.

Hans, sahabat selama-lamanya

TATKALA gelanggang soalan tentang cinta dibuka, Neelofa segera menjeling manja. Dengan senyuman manis yang diukir, dia seakan-akan dapat mengagak soalan yang bakal ditanya.

Kunjungan Neelofa dan bekas teman lelakinya, Datuk Hans Isaac ke pusat peranginan popular, Genting Highlands pada hujung ming­gu lalu bagi menonton konsert artis terkenal antarabangsa, John Legend menimbulkan pelbagai persepsi.

Sama ada bercinta kembali atau tidak, itu persoalan yang menari-nari di benak fikiran peminat. Namun hanya Neelofa sahaja yang punya jawapan terhadap dakwaan tersebut.

“Macam mana saya nak adakan benda yang tidak ada? Beritahu saya. Saya dan Hans akan berkawan untuk selama-lamanya. Walau apa pun yang sudah terjadi atau akan terjadi, kami akan tetap meneruskan persahabatan.

“(Sama ada) dia berkahwin atau saya kahwin. Dia ada orang lain dan saya bercinta dengan orang lain, kami tetap akan bersahabat untuk selama-lamanya,” jawabnya.

Selesa untuk bekerjasama dengan penerbit dan pelakon popular itu, Neelofa kekal profesional dan tahu batas-batas sebagai seorang sahabat. Malah dia juga mahu semua pihak menghormati persahabatan tersebut.

“Saya dan Hans tahu batas-batas persahabatan. Saya kenal kawan-kawan dia dan Hans juga kenal dengan kawan serta keluarga saya, jadi tak ada masalah.

“Semua tahu dan hormat persahabatan kami,” katanya diakhir bicara.

Gementar, teruja

BERGANDINGAN buat julung kalinya di layar kaca dengan hero pujaan ramai, Zul Ariffin menerusi drama Ti Amo, Sweetheart 100 Hari, Neelofa tidak boleh merahsiakan perasaan gemuruh.

Di sebalik senyuman dan gelak ketawa ketika diajukan soalan, dia sejujurnya gementar dengan harapan menggunung peminat setianya yang tidak sabar menantikan hadiah baharu daripadanya itu.

“Penggambaran berlangsung dengan lancar dan mudah. Saya terpegun dengan kecantikan Rom, Itali dan jalan cerita itu sendiri. Memang teruja tetapi sekarang lebih kepada gementar.

“Ramai peminat yang tak sabar menantikan drama itu. Harapan itu yang buat saya gemuruh. Apa pun, saya dan seluruh kru produksi serta pelakon lain sudah memberikan yang terbaik. Nantikan,” kata pengacara MeleTop ini.

Harapan peminat bukan sahaja terhadap drama namun dia juga sedar, ada peminat yang ‘merestui’ sekiranya dia menjalinkan hubungan cinta dengan Zul. Malah tanda pagar #ZuLofa pun sudah tular baru-baru ini.

Tidak mahu memberi bayangan atau merahsiakan sesuatu, Neelofa sekali lagi menegaskan dia dan Zul ‘bercinta’ hanya untuk drama tersebut. Profesional dalam bekerja menjadikan mereka lebih mudah serasi.

“Saya suka bekerja dengan Zul. Sangat profesional. Tak perlu terlalu mencuba untuk mendapatkan mood dan keserasian itu. Peminat pun faham itu hanya untuk drama,” kata wanita berusia 29 tahun ini.