Sebaliknya, penaja dan penyumbang lain bagi teater arahan Raja Azrey Raja Kamaruzzaman itu hanya akan diumumkan pada hari terakhir pementasan nanti.


Pengurus Besar DBI Entertainment, Lyana Zulkepli berkata, sumber terpaksa dirahsiakan hingga hari penutup iaitu 22 Oktober demi menghormati permintaan penaja.


“Apa pun, teater komedi itu tetap diteruskan meskipun pada masa sama berlaku isu yang tular di laman sosial ketika ini yang membabitkan Boy. Bagaimanapun kami ingin tegaskan di sini bahawasanya sumber kewangan yang diterima bukanlah daripada individu yang sedang diperkatakan.

“Kami terpaksa merahsiakan terlebih dahulu barisan penaja utama demi menghormati permintaan pihak berkaitan. Hanya pada akhir pementasan teater itu nanti barulah kami akan uar-uarkan gerangan penyumbang utama,” jelasnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar teater Kontena 404 di Istana Budaya di sini hari ini.


Terdahulu, orang ramai meminta teater Kontena 404 yang akan berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini dihentikan susulan isu membabitkan syarikat DBI Properties yang juga milik pelakon Blok 404 itu.


Dalam pada itu, Raja Azrey tidak menganggap perkara itu sebagai penghalang untuk dia meneruskan teater bergenre seram komedi itu. Malah selama 12 tahun bergelar aktivis teater, ini merupakan impiannya untuk mengarahkan sebuah karya di pentas berprestij Istana Budaya.


“Saya buat kerja seikhlas yang mungkin. Teater ini saya sudah rancang sejak Jun lalu jadi peluang ini tak mungkin dipersia-siakan. Saya bukan tak ambil tahu tentang isu itu tetapi saya lebih risaukan tentang produksi, pelakon serta perjalanan pementasan itu kelak.


“Fokus saya sekarang ini adalah untuk memastikan tidak ada perkara yang boleh menganggu perancangan yang sudah diatur apabila tiba hari pementasan kelak,” kata Raja Azrey.


Tiket-tiket untuk menyaksikan pementasan itu sudah mula dijual pada harga serendah RM34 dan boleh didapati dengan melayari www.ilassotickets.com atau pembelian secara terus di kaunter tiket Istana Budaya. - UTUSAN ONLINE