Baru sahaja menginjak usia 32 tahun pada tanggal 6 Januari lalu, bekas tentera laut itu menganggap kehadiran tahun ini sebagai pembuka lembaran baharu dalam karier seninya.

Apatah lagi pada Ahad lalu, Ajak atau Mohamad Hanaffi Razak itu diberi mandat untuk melebarkan bakatnya sebagai pengacara baharu program hiburan, Melodi bergandingan dengan Janna Nick.

Menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Awal Ashaari dan Azmeer Selamat atau AG, Ajak menjelaskan kepercayaan yang telah diberikan akan didukung dengan rasa penuh tanggungjawab.

Baru-baru ini, ketika bertemu dengannya usai majlis sambutan ulang tahun yang diadakan di Kota Seriemas Golf and Country Club di Nilai, Negeri Sembilan, pelawak dan penyampai radio Hot FM itu berjanji untuk memberikan yang terbaik selaku hos baharu Melodi.

“Satu kerugian andainya saya tidak menerima tawaran yang telah diberikan kepada saya ini. Program ini begitu sinonim dengan jiwa penonton dan peminat hiburan di Malaysia.

“Malah inilah masanya untuk saya buktikan kewibawaan saya selaku seorang pengacara. Sebelum ini, saya akui kerjaya saya dalam bidang pengacaraan tidak begitu konsisten.

“Setelah dua tahun memberi fokus terhadap dunia penyiaran radio, sudah tiba pula masanya saya mewarnakan kanvas seni yang terbentang luas dengan pelbagai corak, mengindahkan lagi portfolio sebagai anak seni,” katanya.

Menurut Ajak, sejak kecil dia dipertonton dengan program tersebut dan telah sebati dalam jiwanya yang mula menceburi bidang seni beberapa tahun lalu.

Bergelar pengacara Melodi, ujarnya, pemilihan tersebut adalah satu elemen atau nilai tambah yang positif terhadap kariernya.

Justeru katanya, dia sudah mempersiap mental dan fizikal andai kata dilemparkan dengan sebarang kritikan yang mempersoal kredibilitinya mengendalikan program terbitan TV3 yang disiarkan pada setiap Ahad, pukul 12 tengah hari hingga 1.30 petang.

“Saya perlu bersikap realistik demi kelangsungan kerjaya saya dalam bidang ini.

“Kalau kita anggap kritikan itu sebagai racun maka susahlah. Namun jika dianggap sebagai baja, insya-Allah semuanya dipermudah,” tuturnya optimis.

Rancang masa depan

Dalam pada itu, diberi kesempatan oleh-Nya untuk terus bernafas pada usia 32 tahun, Ajak mengakui, dia tidak pernah menjangkakan akan berada pada tahap ini.

“Sejujurnya, ketika membuat keputusan untuk berhenti berkhidmat sebagai seorang tentera dahulu saya langsung tidak mempunyai ilmu untuk meneroka dunia hiburan tempatan.

“Namun saya tekad untuk mengubah kehidupan keluarga, mencari nafkah secara optimum demi kesenangan masa depan.

“Bergelar seorang selebriti, saya bawa sekali pengalaman yang diperoleh dalam ketenteraan terutama sikap kendiri dan juga disiplin.

“Alhamdulillah, hari ini saya berpuas hati dengan setiap pencapaian dan mahu jadi lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Ajak menambah, kejayaan yang dikecapinya sekarang adalah rezeki buat seluruh keluarganya terutama isteri dan anak-anak.

Menurut juara Raja Lawak musim keenam itu, dia gemar memikirkan tentang masa depan.

“Seboleh-bolehnya saya mahu menyediakan kelengkapan yang wajar disediakan oleh seorang bapa terhadap anak-anak terutama wang simpanan dan harta supaya kehidupan mereka lebih senang.

“Jika ada rezeki lebih, saya mahu belikan mereka rumah. Mereka berhak menjalani kehidupan lebih baik dan sempurna daripada saya,” jelasnya.