Lebih menarik, statusnya sebagai bekas ahli UNIC seolah-olah mengulangi kejayaan kumpulan nasyid berkenaan yang diangkat sebagai juara sulung program tersebut yang mula diterbitkan pada tahun lalu.

Juri tetap, Farihin Abdul Fatah ketika mengulas faktor kejayaan Fitri memberitahu, finalis itu adalah seorang yang istiqamah dalam setiap persembahannya.

“Setiap minggu dia mempamerkan sebuah aksi mantap dan bertenaga. Bukan sahaja dari sudut vokalnya ada kelas tersendiri, malah persembahan yang dipersembah sangat unik.

“Boleh dikatakan, kami yang duduk di kerusi juri amat menanti-nantikan giliran Fitri untuk mengadakan persembahan. Begitu juga audiens yang memenuhi dewan ini serta penonton di rumah.

“Dia memberikan komitmen terbaik dan begitu kreatif dalam memikirkan corak persembahan berbeza,” ujarnya memberi komen.

Tambah Farihin, selain Fitri, bekas anggota kumpulan Fabulous Cat iaitu Adeep Nahar yang berada di tangga kedua sejak awal memberi saingan sengit kepada peserta lain.

Tampil membawa status sebagai guru vokal, ternyata kemampuan suaranya mendendangkan pelbagai genre lagu adalah petanda awal bahawa Adeep seorang yang perlu diberi perhatian.

“Bezanya, mengambil kira markah dari sudut seni persembahan, Fitri mempunyai kelebihan di situ yang membuatkan barisan panel juri sebulat suara bersetuju memilih Fitri sebagai juara,” katanya sewaktu sidang akhbar diadakan usai tamatnya GGV2.

Mengulas mengenai dominasi tiga peserta solo yang menghuni tiga tangga teratas, Farihin akui ketiga-tiganya telah membuktikan kemampuan masing-masing untuk layak berada pada posisi berkenaan.

“Solo atau berkumpulan tidak mempengaruhi markah yang diberi kepada mereka. Mutu vokal dan persembahan adalah keutamaan diambil kira.

“Sememangnya dari sudut populariti, InTeam dilihat sebagai sebuah kumpulan kuat memandangkan ketika mereka aktif menyanyi suatu ketika dahulu, lagu-lagu nyanyian mereka menjadi siulan ramai.

“Namun, dalam memastikan keharmonian vokal berkumpulan, ada kesukaran yang perlu mereka hadapi di situ.

“Bukan mudah untuk mengawal vokal agar kedengaran harmoni. Itulah cabaran terbesar buat mereka berbanding peserta solo.

“Akan tetapi, apabila sesebuah kumpulan berjaya mengatasi masalah keharmonian vokal, saya pasti mereka dapat mara ke peringkat tertinggi,” katanya.

Peringkat akhir GGV2 diadakan pada Sabtu lalu di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan dihoskan oleh tiga pengacara iaitu Siti Nordiana, Fakhrul UNIC dan Fikry Ibrahim.

Seramai 11 peserta dipilih menyertai GGV2 dan lima daripadanya disingkirkan sebelum tiba acara kemuncak yang diadili dua juri tetap iaitu Farihin dan Oki Setiana Dewi serta juri undangan, Datuk M. Nasir.

Tamat PhD, ikut rentak industri

DALAM pada itu, Fitri ketika ditanya tentang perancangan selepas bergelar juara, dia menyerahkan hal tersebut kepada pengurusan Astro dalam menentukan arah tuju kerjaya seninya.

Mengakui bukan mudah untuk menempuhi liku bergelar seorang penyanyi, apatah lagi penghibur, Fitri jelaskan dia perlukan masa untuk merancang dengan teliti.

“Saya pasti pihak Astro ada rancangan tersendiri selepas ini. Ini kerana, sebelum menyertai GGV2, saya tidak pernah terfikir untuk kembali aktif dalam industri ini.

“Apapun, saya perlu duduk berbincang dahulu dengan mereka sebelum mengorak langkah lebih jauh.

“Jadi, saya akan ikut rentak industri terutama dalam menguasai platform digital,” katanya.

Menurut Fitri, penguasaan platform digital pada zaman sekarang adalah satu keperluan buat seseorang penyanyi bagi memasarkan produk mereka.

Mengulas tentang jalur muzik yang ingin diketengahkan, Fitri tetap dengan pendiriannya untuk menyanyikan lagu-lagu berunsur nasihat.

“Tidak semestinya genre nasyid, malah semua irama mampu menjadi medan penyampai mesej positif.

“Maka, tidak mustahil jika selepas ini saya bakal menyanyikan lagu berentak lain, asalkan liriknya ada nilai-nilai kebaikan untuk disampaikan kepada pendengar,” ujarnya

Pada masa sama, Fitri tidak menjangkakan kemenangannya dan memberi penghormatan kepada guru vokalnya, Adeep yang banyak memberikan tunjuk ajar.

Dia juga memberitahu, sejurus tamat GGV2, dia akan memberi fokus kepada dua bidang iaitu dalam menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Nottingham, United Kingdom dan juga lapangan seni.