KUMPULAN Dream Theater akan mengadakan persembahan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2 Oktober ini.

Konsert yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pukul 8.30 malam itu adalah sebahagian daripada Image, Words & Beyond 25th Anniversary Tour yang bermula di Rom, Itali pada 30 Januari lalu.

Ia juga sempena ulang tahun ke-25 album Images and Words yang diterbitkan pada 1992. Image and Words yang juga album kedua Dream Theater ini adalah album mereka yang paling laris dan mendapat pengiktirafan emas daripada Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA).

Konsert anjuran IME Asia ini bakal memberikan pengalaman tidak setanding daripada album Image and Words dengan lagu-lagu hit mereka seperti Pull Me Under, Another Day, Metropolis Part 1 dan Under A Glass.

Pasti ramai ternanti-nantikan persembahan istimewa daripada Dream Theater yang dibarisi James La Brie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bes), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) yang cukup terkenal dengan ketelitian mereka dalam penghasilan muzik. Malah, setiap anggota Dream Theater sudah diiktiraf sebagai antara pemuzik terbaik dunia.

Hingga hari ini, album-album Dream Theater sudah terjual melebihi 10 juta unit di seluruh dunia selain menerima lima pengiktirafan emas dan platinum daripada RIAA.

Pada 9 April 2013, Images and Words memenangi anugerah Metal Madness 2013 dan menewaskan kumpulan dan artis rock terkemuka lain seperti Ronnie James Dio, Megadeth dan AC/DC.

Tahun ini, album terbabit menduduki tempat ke-95 dalam senarai 100 Album Metal Terbaik Sepanjang Masa oleh majalah Rolling Stone.

Daripada penghasilan klasik ke album terbaharu The Astonishing tahun lalu, Dream Theater mengekalkan identiti mereka dengan lagu-lagu yang penuh dengan lirik bermakna dan mendalam yang mampu melampaui batas imaginasi peminat mereka.

Harga tiket untuk menyaksikan konsert ini berharga antara RM188 hingga RM488 dan boleh dibeli menerusi TicketCharge secara atas talian di www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian hotline +603-92228811.

Tiket-tiket juga boleh didapati di pejabat TicketCharge atau dari outlet tertentu Speedy Video, Victoria Music, Rock Corner, Chambers Music, PJ Live Arts dan juga kaunter maklumat di pusat beli belah The Mines atau 1 Shamelin.

Bagi mereka di luar Lembah Klang boleh kunjungi Eden Ultimate (Kuantan) dan juga Blonde Brunette (Pulau Pinang).

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini, sila layari @IMEAsia di Facebook, @IME_Asia di Instagram, @IMEProduction di Twitter, atau @IMEProductions di WeChat. - UTUSAN ONLINE