Bagi Awie, Joe, Eddie dan Black pastinya kemeriahan Konsert Ulang Tahun Ke-30 Wings kekal terpahat dalam memori. Dalam keadaan hujan dan kebasahan langsung tidak menjadi masalah besar buat mereka untuk terus menghiburkan peminat tegar yang tidak berganjak.

Malah dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, ditambah dengan faktor konsert berbayar, Wings membuktikan jenamanya masih mampu menarik perhatian peminat.

Kejayaan itu juga menolak andaian serta cakap-cakap kosong yang mengatakan Wings sudah membuat persembahan terlalu banyak beberapa tahun kebelakangan ini dan akan menghadapi masalah kehadiran penonton.

“Sebenarnya ini adalah usaha keras pasukan kami yang turun padang mempromosikan konsert ini. Kita tahu dalam keadaan semasa orang berkira untuk mengeluarkan sejumlah wang untuk berhibur.

“Tapi saya dan anggota Wings yang lain sudah berbulan-bulan mengadakan promosi ke seluruh negara dengan menaiki motosikal. Mungkin disebabkan perkara itu juga orang sanggup datang memberikan sokongan kepada kami.

“Peminat mahu artis kesayangan mereka turun padang. Bukan sekadar keluar di media massa dan media sosial dan strategi ini mengembalikan semula nostalgia mereka seperti 20 tahun yang lalu,” cerita Awie.

Jika melihatkan kepada perkembangan konsert sejak beberapa tahun lalu, konsert Wings kali ini paling berjaya menarik perhatian selepas Konsert Double Trouble pada 2010.

Konsert Double Trouble yang menggabungkan kumpulan Wings dan Search ketika itu berjaya mengumpulkan lebih 15,000 peminat.

Menyifatkan perkara tersebut sebagai satu penghargaan buat mereka pastinya Awie mahu berterima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu-jemu menyokong kerjaya seni mereka sejak mula bertapak pada 1985.

Sejarah

Malam itu meskipun konsert bermula pada pukul 9.30 malam akibat faktor cuaca yang tidak menentu langsung tidak mengganggu tumpuan penonton yang mahu menyaksikan Wings.

Paling menarik apabila barisan penyanyi popular tanah air membuka gelanggang dalam segmen tribute termasuk Ito (Blues Gang), Datuk Hattan, Datuk M Nasir, Afdlin Shauki, Azlan & The Typewriter, One Nation Emcee, Kristal, Bila (AF 2015), Aweera, Saiful Apek dan Yasin.

Hanya pada pukul 10.30 malam barulah Wings memulakan persembahan dengan lagu Bazooka Panaka yang terus menghangatkan suasana dingin.

Antara lagu lain yang dinyanyikan termasuk Inspirasi Taming Sari, Bujang Senang, Orang Kita, Gemala Saktiku, Romania, Jumpa Hilang, Pengabadian Ku Kekasih dan Satelit Puaka.

Paling menarik pastinya segmen yang menggabungkan semula anggota yang sudah meninggalkan Wings termasuk Mus May, Mel, Sham dan Jojet sambil diiringi petikan gitar daripada Edrie Hashim, Rodie Kristal dan Hillary Ang.

Segmen tersebut pastinya mengembalikan semula nostalgia peminat terhadap perjalanan anggota lama yang rata-rata turut mempunyai lagu ‘berhantu’ ketika dengan Wings.

Selain itu Mus turut menyanyikan lagu Blues Ular Sawa, RNR Lu Punya Suka dan Jerangkung Dalam Almari sebagai tanda penyatuan.

Malah Awie membuktikan pada usia 46 tahun dia masih mampu berdiri memerah keringat untuk menghiburkan peminat dengan penangan vokal yang tidak mengecewakan.

Antara lagu lain yang dinyanyikan Awie termasuk Ingatkan Dia, Sayap Ilusi, Amok, Awang Trasher, Taman Rashidah Utama, Ranggi Metropolis, Hukum Karma, Opera Hidup dan banyak lagi sebelum konsert ditamatkan pada pukul 3 pagi.