Kali terakhir mengadakan konsert pada 2011, persembahan yang dinamakan Ruth Sahanaya - Live At Dewan Filharmonik Petronas diharap dapat mengubat rindu peminatnya yang berada di Malaysia.

Menerusi satu kenyataan, penyanyi yang popular menerusi lagu Kaulah Segalanya itu mengharapkan persembahannya kali ini bukan sahaja mendapat sambutan peminat muzik di negara ini, bahkan dari Singapura, Brunei dan juga Indonesia.

Pernah diangkat sebagai salah seorang daripada 10 artis wanita terbaik Indonesia oleh majalah Rolling Stone dan 10 wanita paling beraspirasi oleh majalah Bazaar di negara itu, ternyata Ruth ada prestijnya tersendiri.

Selain Kaulah Segalanya, konsert istimewa Ruth di DFP akan menyajikan lagu-lagu malar segar dan hits seperti Memori, Selamanya, Merenda Kasih,

Ingin Kumiliki dan Keliru.

Di samping itu, Ruth turut bakal menyanyikan beberapa buah lagu untuk segmen tribute yang didedikasikan khas kepada penyanyi-penyanyi kegemarannya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan itu boleh didapatkan di kaunter Box Office, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dengan harga antara RM150 hingga RM380. - UTUSAN ONLINE