Justeru setiap yang hadir dengan niat mahu menonton Puteri Gunung Ledang (PGL) tempoh hari secara tidak langsung perlu mempersiapkan minda mereka dengan dua perkara.

Pertama, PGL adalah sebuah konsert dan bukannya pementasan teater. Kedua, persembahannya secara total adalah sebuah eksperimental baik daripada penyediaan set pentas sehinggalah kepada kostum dan lagu.

Sebenarnya untuk peminat setia PGL, agak sukar untuk mengalihkan pandangan statik mereka mengenai persembahan yang baharu seperti itu kerana sejak sedekad lalu, gambaran mengenai perjalanan dan watak Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah, Hang Tuah, Sultan Mahmud Shah, Gusti Adipati Handaya Ningrat dan Bayan, ‘hidup’ dalam cerita.

Jadi apabila berlakunya perubahan drastik kepada watak-watak itu atas tiket untuk menjadikan sebuah naskhah buat tatapan peminat dan penonton baharu, idea mengenainya tidak dapat diterima atau dihadam dengan baik oleh sesetengah pihak.

Benar, konsert PGL itu adalah sebuah persembahan yang spektakular dengan sajian alternatif baharu dalam bentuk sebuah konsert eksklusif.

Tetapi barangkali tidak semua orang boleh menerima pembaharuan seperti itu atas alasan begitu menyayangi naskhah penceritaannya sama ada dalam bentuk filem dan mahupun teater muzikal seperti yang dipersembahkan sebelum ini.

Sehinggakan ada yang berharap, biarlah PGL kekal begitu tanpa ‘dirosakkan’ dengan percubaan atas alasan mahu memberi nafas baharu kepada naskhah tersebut sehingga hilang teras asas juga adat budaya Melayu itu sendiri.

Namun secara keseluruhan, konsert PGL memperlihatkan kegigihan dan usaha pihak Enfiniti Vision Media (EVM) untuk memberikan yang terbaik dalam setiap karya yang dipertontonkan kepada masyarakat.

Terbukti, persembahan di bawah EVM tidak pernah dilakukan secara sambil lewa. Kerana itu produksi yang diterajui oleh Puan Seri Tiara Jacquelina yang juga pendukung utama persembahan sentiasa memastikan buah tangan mereka dikagumi.

Cuma barangkali, kita tidak boleh lari daripada kenyataan bahawa kadangkala ada perkara yang tidak menjadi meski kreativiti dan idea sudah cukup hebat.

 

Bukan mahu mencari kesalahan tetapi seperti ada yang tidak kena dengan beberapa segmen pada persembahan Konsert PGL Rebirth of The Legend tersebut.

Antaranya segmen duet antara Sultan Mahmud Shah (Adlin Aman Ramli) dengan Gusti Adipati Handaya Ningrat (Datuk AC Mizal) yang menyajikan elemen hip hop dalam persembahan mereka.

Tiada masalah dengan gubahan muzik hip hop yang dipersembahkan. Malah tiada salahnya menyajikan unsur fusion pada persembahan seperti itu. Cuma pihak produksi seharusnya berhati-hati dan lebih sensitif untuk menjenakakan Sultan Melaka dan Gusti Adipati kerana kelihatan kurang sesuai dan menjengkelkan.

Kita faham, mereka mahu menyuntik sesuatu kelainan dalam persembahan tetapi sensitiviti mengenai darjat kesultanan Melayu harus diletakkan dalam ruang penghormatan yang selayaknya dan bagi mereka yang menonton, barangkali ada yang terdetik, mengapa imej kesultanan Melayu seakan-akan dipermainkan?

Seperkara lagi, ‘roh’ Hang Tuah diserapkan dalam badan seorang lelaki berpewatakan seperti ejen 007 James Bond, juga sebagai superhero?

Pastinya untuk watak yang dipegang oleh Stephen Rahman-Hughes itu boleh dipersembahkan dengan lebih baik tanpa perlu menjadikan pahlawan Melayu terbilang itu dalam formasi lain.

Sebagai lelaki dan pahlawan Melayu terulung, Hang Tuah wajar diangkat sebagai ikon dan lebih penting, dia bukan superhero rekaan Barat yang nilainya dipandang dari sudut komersial semata-mata.

Hati-hati

Tidak keterlaluan dikatakan bahawa keseluruhan persembahan konsert PGL tempoh hari berjaya memukau penonton menerusi kecanggihan teknikal dengan rekaan set pentas yang berada pada kelasnya tersendiri.

Tolak ke tepi masalah teknikal yang kurang memuaskan ketika hari pertama konsert berlangsung kerana difahamkan, segala kelengkapan yang disediakan untuk persembahan PGL itu adalah baharu dan diimport dari luar.

Itu bukan cuma satu-satunya alasan kerana keseluruhan pasukan produksi juga difahamkan mengalami kekangan waktu yang terhad untuk menjalani latihan pengendalian bahagian teknikal itu sebelum hari pertama pementasan berlangsung.

Pun begitu, selepas diperbaiki dari semasa ke semasa, sudut teknikal konsert wajar dipuji kerana dilihat sangat membantu keterujaan menyaksikan persembahan.

Tidak cuma itu, konsert juga diselamatkan dengan rekaan set pentas hasil nukilan Raja Malek (Chelek) yang berteraskan elemen abstrak dan kontemporari bagi menyesuaikan tuntutan konsert yang berciri eksperimental.

Satu kepuasan apabila melihat usaha dan kegigihan seperti itu dengan setiap perincian menampilkan elemen tiga segi sebagai simbolik kepada penceritaan cinta tiga segi antara Gusti Putri, Hang Tuah dan Sultan Melaka selain simbolik kepada Gunung Ledang itu sendiri.

Malah rekaan gajah abstrak yang menjadi ‘kenderaan’ Sultan Mahmud Shah yang ditunggangi Adlin Aman Ramli ketika membuat kemunculan untuk segmennya mendapat perhatian ramai.

konsert PGL itu adalah sebuah persembahan yang spektakular dengan sajian alternatif baharu dalam bentuk sebuah konsert eksklusif

‘Menjual’ wajah set