KUMPULAN KRU bersedia untuk mengadakan konsert di Istana Budaya pada Mei tahun hadapan.

Konsert yang diberi nama KRU25 akan berlangsung pada 4 - 6 Mei 2018 itu bertujuan untuk mementaskan perjalanan seni KRU melalui sebuah konsert.

KRU yang dianggotai oleh Datuk Norman Abdul Halim, Yusry dan Edry itu sudah lama menyimpan hasrat untuk mengadakan konsert di Istana Budaya namun terpaksa menunggu masa yang sesuai untuk berkongsi tentang perjalanan seni mereka melalui sebuah konsert.

Menurut Norman selaku Penerbit Eksekutif KRU25, pemilihan lokasi Istana Budaya adalah amat sesuai dengan konsep persembahan yang ingin disampaikan oleh mereka.

“Selain pentas, sistem bunyi dan penataan cahaya yang dinaik taraf, suasana eksklusif di Istana Budaya juga akan memberi keselesaan kepada penonton bagi menghayati konsert selama dua jam ini.

“Walaupun KRU25 hanya akan diadakan sekitar tujuh bulan dari sekarang, pihak kami membuat keputusan untuk mengumumkan tarikh ini lebih awal memandangkan ramai peminat KRU telah lama menantikan pengumuman kami ini dan bagi memastikan peminat-peminat yang tinggal di luar kawasan Lembah Kelang dan di luar negara dapat membuat persediaan awal menjelang Mei nanti,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu katanya, lagu-lagu popular KRU dari tahun 90-an hingga kini, KRU25 di Istana Budaya adalah istimewa dan berbeza dengan konsert-konsert KRU yang lain kerana turut disampaikan melalui penceritaan walaupun majoriti segmen persembahan tetap berbentuk nyanyian seperti konsert bagi mengembalikan kenangan dan nostalgia peminat-peminat KRU dari dulu hingga kini.

Jelasnya, sambutan KRU25 telah bermula sejak Ogos 2016 apabila KRU mengadakan konsert di Esplanade, Singapura dan tiketnya habis dijual. Tidak lama lagi, KRU bakal mengeluarkan single terbaharu yang turut dimasukkan dalam album kompilasi KRU25 dalam bentuk digital, cakera padat (CD), cakera video digital (DVD) dan Vinyl.

KRU juga sedang dalam proses penerbitan Rockumentary tentang penglibatan KRU di dalam dunia seni sejak 1992.

Tempahan tiket dari harga RM158 boleh dibuat melalui talian hotline 03-22760038 dan e-mel [email protected] mulai hari ini. - UTUSAN ONLINE