Membuka gelanggang dengan lagu Janani Janani Jagam Nee, komposer muzik terkenal itu nyata menghangatkan suasana dan mengubat resah peminat yang setia menunggu, menerusi Raaja-The One Man Live in Concert 2017 di Arena Axiata, Bukit Jalil yang bermula pukul 8 malam.

Bukan hanya bersandarkan pada gemersik alunan vokalnya, pengalaman juga nyata memberikan kelebihan kepada Ilaiyaraaja untuk menawan penonton. Menerusi celoteh bersahaja bersama kira-kira 10,000 penonton yang memenuhi stadium berkenaan, beliau membuatkan suasana tidak bosan.

Beliau turut memastikan kesempurnaan penyampaian setiap lagu apabila sanggup membetulkan situasi ketika berlaku ketidakseragaman.

Ilaiyaraaja tiba di Kuala Lumpur bersama kira-kira 80 penyanyi dan kumpulan orkestra pada Selasa lalu sebelum bertemu wartawan dalam satu sidang media khas di sebuah hotel terkemuka, sehari kemudian.

Antara penyanyi terkenal yang turut mengegarkan pentas pada malam ini adalah Citra, Mano dan Kartik.

Sinonim dengan jolokan ‘isai gnani’ (genius dalam muzik) itu, lagu Rakkamma Kaiya Thattu dari filem Thalapathi, hasil gubahan beliau pada tahun 1991 pernah menguasai tempat ke-4 di carta muzik antarabangsa sebagai lagu paling popular sepanjang zaman dengan mengumpulkan undian terbanyak dari 155 buah negara pada 2003.

Malah tinjauan yang dijalankan oleh portal hiburan terkenal, Taste of Cinema pula meletakkan komposer muzik berusia 74 tahun itu di tempat ke-9 daripada 25 pemuzik terhebat di dunia.

Antara filem yang melonjakkan nama beliau di barisan pemuzik popular antarabangsa adalah seperti Anjali, Thalapathi, Thevar Magan, Nayagan, Mouna Ragam, Moondram Pirai dan Mahanadhi.

Pemilik nama sebenar Gnanathesikan ini dilahirkan di Pannaipuram, sebuah daerah di Theni, Tamil Nadu. Ketika mendaftar di sekolah, bapanya menukar nama beliau sebagai Rajaiya tetapi orang kampungnya sering memanggilnya sebagai Raasayya.

Apabila menyertai kelas muzik pula, guru beliau, Dhanraj menamakannya sebagai Raaja dan pada filem pertamanya Annakili, penerbit filem terbabit, Panchu Arunachalam menambahkan Ilaiya (muda) sebagai awalan pada namanya dan bertitik tolak dari itulah, maka lahirlah ikon muzik terkenal, Ilaiyaraaja. - UTUSAN ONLINE