Kedua-dua kumpulan yang bernaung di bawah pengurusan YG Entertainment itu akan mengadakan persembahan pada 13 (Sabtu) dan 14 Oktober (Ahad) ini di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert anjuran MacpiePro yang berjudul iKON 2018 Continue Tour In Kuala Lumpur dan WINNER 2018 Everywhere Tour In Kuala Lumpur itu akan bermula pada pukul 6 petang.

Anggota WINNER yang dianggotai oleh Yoon, Jinu, Hoony dan Mino, terasa amat teruja kerana ini adalah kehadiran pertama mereka ke Malaysia untuk bertemu dengan peminat secara langsung.

Sementara itu, kumpulan iKON yang dianggotai oleh B.I, Jay, Bobby, Song, Ju-ne, DK dan Chan, kedatangan kali kedua ke negara ini pasti lebih bermakna kerana dapat melepaskan rindu dengan peminat mereka.

Peminat kumpulan iKON dan WINNER jangan ketinggalan untuk membeli tiket berharga antara RM273 hingga RM693 yang mula dijual pada pukul 12 tengah hari, pada 23 Ogos ini menerusi www.ticketcharge.com.my. Jualan tiket untuk konsert WINNER pula hanya akan mula dijual pada pukul 2 petang, hari yang sama.

Bagi memastikan penonton remaja tidak ketinggalan untuk menonton kedua-dua konsert tersebut, penganjur menawarkan harga istimewa kepada golongan tersebut. Peminat yang berumur 18 tahun ke bawah berhak menikmati harga istimewa RM98

untuk tiket berharga RM273 untuk kedua-dua konsert tersebut.

Manakala untuk 400 pembeli pertama yang membeli tiket Zon Ikonic/Inner Circle atau 150 orang pertama yang membeli tiket Zon Merah (RM673) berhak mendapat pas untuk berada di hadapan pentas sewaktu ahli kumpulan tersebut membuat latihan.

Sementara itu, 280 orang peminat pertama yang membeli tiket Zon Kuning berharga RM573 pula mendapat keistimewaan pas untuk mengucapkan selamat tinggal kepada anggota kumpulan mereka. Selain itu, setiap pembelian awal turut mendapat poster rasmi.

Untuk perkembangan lanjut sila layari Facebook @MacpiePro dan www.macpiepro.com. - UTUSAN ONLINE