Helloween yang berasal dari Hamburg, Jerman bakal mengadakan konsert sempena siri konsert bergerak Pumpkins United Tour 2018 Live In Malaysia itu di Dewan Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, pada 28 April ini pukul 8.30 malam.

Kali terakhir Helloween berkunjung ke rantau Asia Tenggara adalah pada konsert sulung mereka di Fort Canning, Singapura pada 24 Februari 2008 yang disaksikan hampir 5,000 peminat setia mereka dari rantau ini.

Apa yang menariknya, pada kunjungan kali ini Helloween akan menggabungkan anggota-anggota asal mereka iaitu Weikath, Kiske, Hansen, Grosskopf dan turut di bantu oleh Andi dan Michi selaku vokalis, Kai Weiki serta Sascha selaku gitaris dan Markus selaku bassis, manakala Dani pula bertindak selaku pemain dram.

Konsert Pumpkins United World Tour 2018 Live In Malaysia itu yang dianjurkan RSVP Media dan Malaysia Autoshow itu dijangka mampu memuaskan hati para peminat mereka dalam persembahan yang akan diadakan selama dua jam tanpa henti.

Kumpulan yang pada mulanya dikenali sebagai Gentry, Second Hell dan Iron Fist itu mempunyai pengalaman mengadakan ribuan konsert di seluruh dunia sejak ditubuhkan lebih tiga dekad yang lalu yang mana mereka sezaman dengan kumpulan dari Jerman yang lain seperti Destruction, Kreator dan Tankard.

Helloween mula tampil dengan album pertama yang telah diterbitkan pada tahun 1985 bertajuk Walls Of Jericho selain beberapa buah album lain termasuk Keeper Of The Seven Keys Part 1, Pink Bubbles Go Ape, Chameleon, Master of the Rings, The Time of the Oath dan Better Than Raw.

Para peminat boleh mendapatkan tiket yang telah pun dan ia berharga antara RM195 hingga RM800 (pembelian awal sehingga 18 Mac ini), manakala RM295 sehingga RM900 iaitu selepas promosi pembelian awal itu berakhir.

Sebelum mengadakan konsert di Malaysia, Helloween akan mengadakan persembahan mereka di Jepun, Rusia dan Ukraine selain turut diadakan di negara-negara seperti Itali, Sweden, Norway, Finland dan beberapa buah lagi negara.

Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket dan konsert tersebut, sila hubungi 03-78807999 atau layari www.ticketpro.com.my atau www.soundvalleyfestival.com