Konsert yang diberi nama Dennis Lau & Friends: The Chosen ini akan berlangsung di Mega Star Arena di pusat membeli belah Viva Home Kuala Lumpur, bermula pukul 8 malam.

Tambah istimewa, Dennis turut menampilkan barisan rakan artis tempatan yang sedang meningkat popular seperti Aisyah Aziz, Dewi Seriestha, Jimmy Sax, Dennis Yen, Lee Elaine, kumpulan Nama Music, Jeryl Lee dan Fara Dolhadi yang akan berkongsi pentas bersamanya.

Menarik lagi, bertemakan The Chosen, sepanjang lebih kurang dua jam penonton akan diberikan sebuah pengalaman konsert yang penuh dengan semangat cinta, keamanan dan kesaksamaan.

Optimis mahu mempersembahkan sebuah konsert bertaraf antarabangsa, Dennis berkata dia juga berbangga kerana konsert kali ini bakal mendapat khidmat profesional seperti penerbit muzik terkenal Jennifer Thompson manakala komposer Aubrey Suwito akan bertindak sebagai pengarah muzik.

“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk beraksi pada hari konsert nanti.

“Tetapi tidak dinafi, sekarang ini saya sudah merasai tekanannya kerana perlu memastikan semuanya sempurna dan memuaskan hati penonton.

“Tetapi saya bertuah kerana mempunyai pasukan yang sangat hebat seperti Jennifer Thompson sebagai penerbit dan Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.

“Selain itu, saya juga akan berkolaborasi dengan barisan artis yang mana mereka adalah rakan-rakan yang sangat berbakat,” katanya pada sidang media yang diadakan di Mega Star Arena, petang tadi.

Tiket-tiket konsert tersebut berharga seperti berikut, RM999 (VVIP), RM499 (VIP), RM299 (PS1), RM169 (PS2) dan RM99 (PS3). Maklumat lanjut layari www.ticketcharge.com.my. - UTUSAN ONLINE