Bahkan perjuangan muzik nasyid masih kekal relevan dan bersifat malar segar.

Irama kerohanian tetap mendapat tempat di hati peminat walapun ada ketikanya mengalami zaman suram.

Biarpun anggota kumpulan nasyid muncul bersilih ganti, namun aura kehebatan setiap kumpulan tetap menjadi pujaan ramai.

Atas dasar itu, KGM Event dengan kerjasama Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tampil menganjurkan Konsert Amal 4 Nomena Alumni UIAM yang menggabungkan barisan artis nasyid terhebat yang pernah bernaung di bawah satu bumbung iaitu Hijjaz, In-Team, Mestica dan UNIC.

Ia sebagai tanda penghargaan kepada sokongan tidak berbelah bahagi peminat sejak tertubuhnya Hijjaz Records pada 1997.

Bertemakan ‘Terima Kasih’, ia diangkat sebagai simbolik kepada konsert penyatuan ini.

KGM Event percaya penyatuan semula ini mampu mengembalikan kerinduan peminat terhadap keutuhan irama nasyid satu ketika dahulu.