Berkongsi detik yang sukar dilupakan oleh DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid, 42, menyifatkan kegigihannya tatkala melaksanakan tanggungjawab yang diberi sewaktu awal pelantikannya merupakan perkara yang tidak mampu lupus daripada ingatan.

Ujar penyampai yang popular menerusi program Suria Cinta ini, meskipun tidak memiliki lesen memandu, itu bukan halangan untuknya bekerja dan bergerak demi memenuhi tuntutan tugasan yang diberikan.

Lebih selesa menggunakan perkhidmatan awam ketika itu, DJ Lin yang pada masa yang sama memikul tugas sebagai Pegawai Perhubungan Awam stesen itu sama sekali tidak terbeban dengan cara kerjanya.

“Saya bekerja sepenuh hati dan gembira kerana kerja keras saya membuahkan hasil apabila segmen Suria Cinta mendapat pengiktirafan sebagai program radio paling lama bertahan.

“Saya juga menerima beberapa anugerah yang mewakili program tersebut. Jadi, dari situ saya boleh katakan jika kita melakukan sesuatu dengan komitmen, minat dan jiwa, dengan izin Tuhan, kita pasti akan berjaya.

“Melalui saat-saat itu bersama-sama Suria, perkara tersebut tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. Sehinggakan pernah terlintas di fikiran saya apabila anak saya besar kelak, saya tidak akan membenarkan mereka bekerja seperti saya,” katanya.

Pernah memenangi anugerah DJ Radio Wanita Popular, selain itu, Suria Cinta kendaliannya pernah dua kali diiktiraf sebagai rancangan Interaktif Radio Terbaik pada Anugerah Seri Angkasa 2005 dan 2010.

Malah ibu kepada Nureen Aresya dan Nazren Asyran ini juga pernah menerima Anugerah Ikon Wanita Muda Negara pada 2012.

Tidak hanya berjaya meletakkan jenama Suria FM kukuh dalam industri, kesetiaan dan kegigihan DJ Lin turut melayakkannya memikul jawatan yang lebih besar.

Berbicara tentang soal itu, tidak putus ucapan syukur yang keluar daripada mulutnya.

“Saya bersyukur kerana saya sentiasa diberi kekuatan untuk membina semangat juang yang tinggi. Bagi saya, perkara tersebut antara faktor yang membuatkan saya kekal bertahan sehingga ke hari ini bersama-sama Suria FM.

“Walaupun begitu saya tidak dapat nafikan setiap organisasi ada pasang surut, politik dan konflik yang tersendiri. Namun bagaimana kita berdepan dan keluar daripada konflik tersebut, itulah yang menyumbang kepada kekuatan untuk terus bertahan,” jelasnya yang kini bertindak sebagai Pengurus Program Suria FM.

Mahu beli stesen radio 

Dek kerana kecintaan yang mendalam terhadap industri radio, DJ Lin tidak segan untuk mengakui bahawa dia tidak akan melepaskan peluang sekiranya diberikan rezeki untuk memiliki stesen radio sendiri.

Jelasnya, memiliki stesen radio merupakan cita-citanya kerana seluruh jiwa dan dunianya hanya berkaitan perkara tersebut.

“Sayang saya terhadap pekerjaan saya ini kerana bermula dengan niat saya mencari rezeki untuk anak-anak saya.

“Dari situ, perasaan sayang itu semakin meluas sehingga saya dapat rasakan diri saya amat sebati dalam industri ini. Oleh sebab terlalu sayangkan radio, ada orang pernah menyuruh saya membeli stesen radio tersebut.

“Iya, memang saya teringin untuk membeli stesen radio. Jika saya ditemukan jodoh dengan lelaki kaya memang saya akan beli saham Suria FM,” ujarnya.