Mempunyai misi yang sama iaitu mahu menyalurkan mesej positif dan mencipta sesuatu yang baharu buat penggemar muzik tanah air, kedua-dua mereka tidak meletakkan tekanan dalam menghasilkan karya-karya berkualiti bersama.

Selepas kolaborasi single pertama dalam bahasa Inggeris berjudul Obvious pada tahun lalu, SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Mohd Rafee Michel Lozach, 30, dan Alif kembali dengan bingkisan yang lebih besar, iaitu album berjudul, Detail.

Biarpun begitu, Alif menjelaskan kolaborasi antara mereka berdua tidak bermaksud dia mahu membentuk sebuah kumpulan bersama SonaOne.

Malah baginya, dia senang bersama rakan karibnya itu lantaran ‘senda gurau’ mereka sering menjadi apabila bersama.

“Saya sudah kenal SonaOne lebih 10 tahun ketika masih bersama Sleeq lagi. Banyak yang kami kongsikan bersama. Malah apa sahaja projek muzik. kami akan usahakan berdua.

“Jadi, saya tidak berfikir panjang apabila ada peluang kami untuk menghasilkan single dan album duo. Bagi saya, SonaOne adalah penyanyi hip hop dan komposer berbakat besar malah sentuhannya pasti menjadi,” kata Alif.

Seperti Alif, SonaOne menyifatkan gabungan mereka sebagai sesuatu yang unik kerana jarang sekali seorang penerbit yang juga penyanyi boleh bergabung berdua sepertimana yang mereka lakukan.

“Muzik yang kami bawakan dalam album, material sememangnya lain dari kebiasaan muzik hip hop sebelum ini. Penyataan muziknya berbeza dan masih belum ada mana-mana penyanyi yang membawakan muzik begini dalam negara ini.

“Kami sengaja memilih untuk keluar dengan album kerana pada kami dunia muzik sekarang sudah berkembang, era album seperti mana dahulu akan kembali semula. Pada saya seperti mana orang sekarang suka menonton drama bersiri di Netflix dari awal hingga tamat, begitu juga peminat muzik.

“Saya yakin penggemar muzik mahu mendengar muzik artis pilihan mereka seberapa banyak yang ada, jadi tidak seronoklah kalau mereka keluar dengan single sahaja kerana ia akan membuatkan peminat ternanti-nanti,” jelas SonaOne.