Tidak menyokong namun tidak juga menolak keadaan ini, sebagai orang lama dalam industri, Tarmimi berpandangan selagi penonton mahukan drama-drama berbentuk klise seperti kisah percintaan dua darjat dan sebagainya, pengarah sepertinya tiada daya untuk membantah kehendak penonton.

Bahkan, memahami keadaan di mana penerbit juga mahu memperoleh keuntungan daripada sesebuah penghasilan projek drama, maka ia lebih menyukarkan pengarah mahupun penulis skrip untuk berkarya.

“Kita tak dapat menafikan bahawa penonton memang suka drama yang berbentuk klise sebagaimana yang sedia ada dan popular pada masa ini.

“Kadangkala, penerbit pula, apabila kita berikan visual drama yang elok dan mempunyai lakon layar yang bagus, mereka minta pengarah ubah dan buat penambahbaikan semula atas alasan penonton suka.

“Kuasa penuh memang ada pada pengarah kalau bab menzahirkan skrip ke bentuk visual, tetapi hasil akhir tetap terletak pada keputusan penerbit,”katanya.

Tambah Tarmimi, melainkan penerbit dan pengarah seiring dalam menzahirkan sesebuah kerja, maka dia percaya hasilnya akan kelihatan cantik dan menjadi.

Bagaimanapun, Tarmimi tidak menolak baharu kini dia akur untuk mengarah drama berbentuk klise memandangkan sebelum ini dia lebih berpegang kepada prinsip diri.

Sewaktu zaman muda, dia berpegang pada prinsip mahu menggarap karya yang sesuai dan kena dengan jiwanya sahaja.

“Namun akhirnya saya akur dengan istilah dagang di mana mahu atau tidak, ini dunia perniagaan. Jadi saya buat sahajalah sebaik mana dan semaksima yang boleh.

“Kalau karya itu mampu laku di mata penonton, maka ia sudah baik. Tetapi kalau ada pengkritik 
yang tidak suka, maka kita timbal baliklah mana yang bersesuaian. Terserah kepada semua pihak,”
katanya.