Salah satu adegan dalam KL Special Force yang menampilkan lakonan Syamsul Yusof dan Fattah Amin.

Produsernya, Datuk Yusof Haslam berkata, beliau sudah menjangka filem arahan Syafiq Yusof itu bakal menggegarkan panggung namun tidak menyangka sehebat itu.

Malah, beliau juga meletakkan harapan yang tinggi kepada filem yang menampilkan gandingan hebat Syamsul Yusof, Datuk Rosyam Nor dan Fattah Amin itu.

“Alhamdulillah, setakat semalam, kutipan melebihi catatan sejarah Abang Long Fadil 2 dengan berjaya mengutip RM4.7 juta. Satu perkembangan yang sangat baik untuk sebuah filem.

“Memang ada tanda-tanda mahu pecah panggung tetapi kita tunggu dan lihat. Saya sendiri sebagai ayah, kagum dengan kemampuan pengarahan Syafiq,” katanya kepada UTUSAN ONLINE di sini hari ini.

Dalam pada itu, filem KL Special Force juga mendapat reaksi positif pengguna media sosial yang menyifatkan filem itu sebagai satu tanda aras baharu bagi industri perfileman tempatan. - UTUSAN ONLINE