Bagi sesiapa pun di India yang mengenali Rajinikanth, beliau tidak pernah sesekali memenuhi jemputan mana-mana pihak untuk melakukan acara pembukaan, pelancaran, perasmian kedai, bangunan atau jauh sekali condong kepada mana-mana parti politik. Malah, Perdana Menteri India, Narendra Modi sendiri pernah bertemu dengan Rajinikanth meminta beliau berbuat demikian. Namun beliau menolak dengan baik.

Tetapi apabila Abdul Malik memintanya untuk merasmikan gedung Wisma Malik miliknya yang terletak di Jalan Silang, belakang pusat beli-belah Kota Raya di ibu negara tahun lalu, Rajinikanth terus menerimanya. Kejutan itu membawa media di seluruh dunia khasnya di India memaparkan banyak gambar pembukaan bangunan itu di muka depan akhbar mereka. Rajinikanth juga bersetuju untuk tinggal lebih 50 hari di negara ini bagi menghabiskan penggambaran filem Kabali yang hampir 80 peratus pembikinan dilakukan di Malaysia.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia dalam satu pertemuan baru-baru ini, Abdul Malik memberitahu, kerjayanya bermula dengan syarikat import dan eksport

serta pengurup wang. Hanya selepas itu beliau mencuba nasib dalam dunia perfileman menerusi syarikat produksi sendiri, Malik Streams Production & Distribution.

Filem pertama ditayangkan pada 2013 berjudul Goal, sebuah filem dibintangi artis-artis tempatan dan India. Seterusnya beliau melangkah setapak lagi ke dunia pengedaran filem bermula filem Lingaa pada 2014 yang dibintangi Rajinikanth.

Abdul Malik menarik perhatian India yang menerima jolokan ‘Bollywood Kollywood’, juga merupakan pengeluar filem terbesar dunia dengan lebih 1,000 judul filem dihasilkan setiap tahun, datang ke Malaysia.

“Industri perfileman India merupakan salah satu lubuk rezeki yang sangat dikehendaki seluruh negara di Asia. Cabaran utama perfileman di India adalah apabila mereka mengeluarkan sesuatu filem, akan muncullah banyak pihak yang bersaing untuk mendapatkan filem tersebut. Tidak mudah persaingan ini kerana hanya yang kukuh berjaya mendapatkan filem itu. Dalam kata lain siapa cepat dia dapat,” katanya.

Mengenai titik awal perkenalannya dengan Rajinikanth, bekas pelajar Sekolah St. John Kuala Lumpur itu memberitahu, segalanya bermula dengan filem Kabali. Apabila mendapat tahu filem ke-159 aktor tersebut memilih Singapura sebagai lokasi, beliau terus berlepas ke India untuk mencuba nasib.

Merealisasi

“Pada awalnya, saya bertemu dengan penerbit filem. Setelah mendapat jawapan daripada pengarah serta penerbit, baru saya bertemu Rajinikanth. Dari situ, hubungan saya dengan Rajinikanth menjadi rapat kerana saya sentiasa bersamanya 24 jam. Saya tidak pulang ke rumah hampir 48 hari dan tidak dapat tumpu perhatian dalam perniagaan. Fokus utama adalah filem itu dan Rajinikanth.

“Pada masa sama, saya juga berjaya meyakinkan pengarah filem berkenaan supaya menggunakan pelakon tempatan. Dari situlah, saya mencadangkan sendiri nama Datuk Rosyam Noor, Norman Hakim, Jack Taipan serta pelakon tambahan yang lain,” kata beliau. Berdasarkan lakonan Rosyam dan Norman dalam filem Kabali, katanya ramai produser India memuji mereka kerana berjaya membawa watak dengan baik.

“Mereka tidak ambil masa panjang untuk melakonkan sesuatu scene, saya lihat ini masa depan yang cerah buat pelakon-pelakon tempatan untuk berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya.

Ditanya pasaran filem Tamil di negara ini, Abdul Malik berkata, selepas India, Malaysia sebenarnya mencatat jumlah penonton filem Tamil kedua terbesar. Ia bukannya Dubai, Sri Lanka atau Singapura.

Filem S3 lakonan pelakon popular India, Surya contohnya mengutip jualan tiket RM6.5 juta di Malaysia berbanding RM1.9 juta di Singapura. Malah, semasa penggambaran filem Kabali di negara ini, ramai rakyat Dubai, Singapura dan India turun melihat babak penggambarannya.

Rajinikanth sendiri berada di negara ini selama 48 hari iaitu tempoh paling lama beliau berada di luar negara. Kira-kira 300 kru dibawa dari India. Filem Kabali juga memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini. Bayangkan dari segi penjanaan ekonomi yang diraih negara dari aspek tempat tinggal (hotel) krew dan makanan.

Mereka terutama Rajinikanth gembira menikmati makanan di sini dan gemarkan kari kepala ikan. Kira-kira 1,000 hingga 5,000 orang berkerumun lihat penggambaran Kabali setiap hari.

Dalam merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi pembikinan filem dan siri drama televisyen, Abdul Malik merancang ke India selepas Hari Raya Aidilfitri nanti untuk menganjurkan satu bengkel yang dihadiri kira-kira 200 produser dan pelakon India. Program disertai Finas dan Tourism Malaysia.

“Saya akan cuba tarik perhatian pihak produksi India memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran filem mereka. Malaysia mempunyai banyak tempat menarik, rumah tradisional dan kediaman moden yan menjadi tarikan ramai. Ini tentu akan menjana pendapatan sekali gus menjayakan program Malaysia The Primary Hub for Film Makers.

“Saya juga dimaklumkan bahawa Rajinikanth akan kembali melakukan penggambaran filem di negara ini dalam masa terdekat tetapi judul filem masih dirahsiakan,” katanya.

Kepada artis-artis Malaysia, beliau turut berkongsi pengalamannya hasil pergaulan dan ketika berurusan dengan sebilangan produser filem terkenal dari India. Kata Abdul Malik, selain memberi tumpuan kepada karier, mereka perlu mempunyai beberapa ciri berikut: jangan bongkak, memiliki rasa hormat kepada yang tua atau yang muda, belajar menerima kritikan daripada semua pihak serta mengambil kritikan sebagai tunjang utama memperbaiki diri.

Saya sendiri juga masih dalam proses belajar dan tidak pernah berhenti untuk mempelajari ilmu dalam industri ini. Insya-Allah suatu hari nanti saya harap akan berjaya seperti produser filem yang telah mengecap kegemilangan. Sedikit nasihat juga kepada produser-produser filem tempatan di luar sana, jangan berputus asa dan teruskan usaha mengeluar filem-filem yang berkualiti,” kata beliau.

Mengakhiri temu bual, Abdul Malik berjanji, “Pihak saya akan terus mengesyorkan pelakon tempatan (India) kepada produser di India. Tetapi sebelum itu, pelakon haruslah cukup bersedia untuk ‘berdiri dan terus bertahan’ kerana dalam industri ini terlalu ramai pelakon mempunyai bakat hebat.

“Jika mereka mempunyai kriteria diperlukan, sudah pasti kita bantu mereka untuk berjaya dalam industri perfileman di India dan juga antarabangsa,” ujar beliau mengakiri bicara.