Mungkin dari segi pemilihan barisan pelakonnya iaitu Mawi, Hazama, Joey dan Along Cham turut memberikan aura tersendiri membuatkan drama itu tidak jemu ditonton berkali-kali.

Rock Sangkut yang diarahkan Mawi itu mengisahkan tentang empat sahabat yang bercita-cita untuk bergelar artis dengan menubuhkan kumpulan rock. Tetapi hasrat mereka terbantut apabila ditakdirkan menjadi sebuah kumpulan nasyid.

Sang sutradara turut merencana jalan cerita Rock Sangkut ke layar lebar dan menjangkakan filem itu ditayangkan penghujung tahun ini.

Filem yang masih belum berjudul itu sudah pun selesai penggambarannya yang memakan masa sebulan dan empat teraju utama itu masih dikekalkan.

Mawi teruja arah filem pertama

TIDAK pernah terfikir untuk duduk di kerusi pengarahan, kata Mawi yang merupakan pemilik Mawi World Entertainment, dia bersyukur apabila diberi peluang untuk menimba ilmu dengan Syamsul Yusof.

Semuanya bermula apabila ditawarkan berlakon filem Munafik 2. Tidak mensia-siakan peluang yang ada, Mawi yang pernah menjadi fenomena selepas memenangi Akademi Fantasia musim ketiga membulatkan hati untuk duduk di kerusi pengarah.

“Saya mula terfikir nak arahkan filem selepas berjumpa Datuk Yusof Haslam dan Syamsul. Jadi sambil-sambil berlakon dalam Munafik 2, saya juga belajar cara mengarah dengan teknik betul.

“Mereka banyak membantu dan memberi nasihat. Malah apabila Rock Sangkut diterima ramai membuatkan saya lagi bersemangat untuk filemkan cerita ini,” tuturnya yang memberitahu filem itu adalah berdasarkan kisah benar yang telah diolah semula.

Malah keputusan untuk mengekalkan barisan pelakon juga dipersetujui semua pihak dan menganggap mereka penggerak utama jalan cerita, kata Mawi.

Menguak transisi Mawi atau Asmawi Ani yang sudah 13 tahun bertapak dalam industri seni, daripada seorang anak Felda Taib Andak, Kulai, Johor yang tidak mempunyai pelajaran tinggi kini dia mampu tersenyum dikurniakan rezeki lumayan.

“Alhamdullilah. Walaupun nampak sedikit menyimpang dari awal pembabitan sebagai penyanyi tapi tetap bersyukur kerana masih ada dalam industri.

“Asal ada minat, boleh berjaya. Itu prinsip saya. Malah minat asal untuk bergelar penyampai radio pun sudah tertunai selepas mengendalikan radio Zayan.

“Saya pernah rasa kena ‘boo’. Itu semua jadikan saya lebih kuat dan bertahan sampai sekarang. Tidak putus berdoa dan sentiasa mohon diperluas rezeki Allah,” katanya yang sudah mengarahkan lima telefilem sejak beberapa tahun lalu.

Hazama tidak tertekan

INI bukanlah lakonan pertamanya dalam filem tetapi Hazama, 34, menganggap naskhah terbabit sebagai satu karya yang sukar untuknya.

Membawakan watak Abadi, kata Hazama, dia perlu bermain dengan emosi malah lontaran dialognya juga tidak banyak.

“Watak saya tidak menuntut terlalu banyak dialog sebaliknya lebih bermain dengan reaksi wajah. Dalam cerita ini saya tak buat kelakar tetapi Mawi mahu situasinya jadi lawak.

“Saya yakin dengan kredibiliti Mawi sebab itu saya terima tawaran dia lagi. Semua pelakon di set penggambaran memang sudah ada keserasian jadi tiada masalah untuk bekerjasama.

“Saya percayakan Mawi selepas berlakon telefilem Rock Sangkut. Saya menaruh harapan yang tinggi untuk filem pertama arahannya,” ujar Hazama.

Melihatkan wajahnya yang kerap berlakon, ada yang menganggap lelaki berasal dari Hutan Melintang, Perak itu sudah tidak lagi menyanyi.

“Saya tak boleh menidakkan rezeki. Saya terima tawaran lakonan sebab itu cabaran buat saya.

“Lagipun masyarakat sudah mula terima industri seni sebagai satu kerjaya. Jadi, saya buat sajalah kalau penggambaran tidak bertembung dengan jadual nyanyian.

“Sebab itulah perancangan mahu menghasilkan album masih belum selesai sampai sekarang. Penggambaran filem ini sahaja memakan masa selama sebulan jadi saya tiada ruang untuk masuk studio rakaman,” katanya.

Mengulas mengenai kehidupan peribadi, Hazama yang berkahwin dengan pemuzik Genervie Kam sejak setahun lalu masih belum dikurniakan cahaya mata.

Penyanyi lagu Aku Yang Sebenar itu bagaimanapun tidak mahu terburu-buru menambah bilangan ‘orang baharu’ dalam keluarganya.

Malah episod duka yang dialami Genervie selepas mengandung luar rahim ketika usia perkahwinan mereka genap tiga bulan bagaimanapun tidak membuatkan mereka terus kecewa, sebaliknya terus berdoa agar diberi peluang kedua.

“Saya tak ada rasa tekanan atau kecewa apabila ditanya soalan sama tentang anak berulang kali oleh orang sekeliling.

“Jawapan kami ialah tiada rezeki lagi. Kami tak adalah sampai tertekan memikirkan bila nak ada anak. Itu semua kerja Tuhan.

“Saya kahwin dengan dia bukan sebab semata-mata nak ada anak tetapi dia melengkapkan hidup saya,” jelasnya.

Lakonan punca Joey sakit tonsil

KARAKTER Rumi yang digalas oleh Joey digambarkan sebagai lelaki poyo dan dek plot penceritaan filem ini lain daripada karya yang pernah dilakukan, maka dia berlapang dada untuk terima pelawaan Mawi.

Pun begitu, Joey atau Zulkifli Daud jatuh cinta dengan filem itu kerana penuh dengan pengisian.

“Pada awalnya saya agak dalam 10 ke 15 peratus kurang yakin kisah ini boleh dijadikan filem. Yalah... sebab ini merupakan kesinambungan daripada telemovie Rock Sangkut jadi timbul sedikit keraguan.

“Tapi Mawi seorang pengarah yang bagus dan tahu yang diinginkan. Filem ini tidak menekan tentang kisah cinta.

“Memang banyak cabaran bila masuk set penggambaran. Sebab apabila sudah berlakon sama set memang susah nak buang lawak antara satu sama lain. Mesti setiap kali nak keluarkan dialog, kami akan tergelak.

“Insya-Allah, saya mengharapkan yang terbaik untuk filem pertama Mawi,” katanya.

Berkongsi tentang masalah tonsil yang dihidapi, Joey yang juga suami kepada pelakon dan penyanyi Watie Sadali itu terpaksa memperlahan bidang nyanyian sejak 2005.

“Masalah tonsil ini semuanya bermula selepas saya ceburi bidang lakonan. Menyanyi dan berlakon ini satu cabang yang berbeza.

“Saya kena banyak gunakan kotak suara apabila mengeluarkan dialog. Kalau skrip suruh menjerit, saya kenalah jerit.

“Tapi jujurnya saya masih ada cintakan karier nyanyian. Tak pernah padam sehingga ke hari ini,” ulasnya yang pernah popular menerusi lagu Beradu Suratan.

Along dan tanggungjawab

LEBIH setahun menyepi dalam bidang lakonan, kerinduan untuk beraksi di hadapan kamera tidak pernah lenyap dalam kanvas seni Along Cham.

Justeru, dia deras mengatur langkah untuk tahun ini dan mahu kembali aktif demi mencari sesuap nasi.

Berkawan baik dengan Mawi, jejaka berusia 35 tahun itu tidak menganggap itu jalan mudah untuk dia berasa selesa berlakon bawah produksi tersebut.

“Saya terima tawaran untuk pegang watak Kuswadi untuk filem arahan Mawi sebab satu peluang untuk saya kekal relevan.

“Kami memang berkawan rapat tetapi tidaklah apa sahaja karya Mawi, dia akan tawarkan kepada saya. Semuanya bergantung kepada kesesuaian watak dan penceritaan.

“Dalam filem ini saya pegang watak Kuswadi yang berperwatakan lembut. Kalau cakap tentang cabaran, orang kata sebaik-sebaik baik guru ialah pengalaman,” jelasnya yang tidak menyambung kontraknya sebagai penyampai radio di Best FM selepas kontraknya tamat setahun lalu.

Bukan mudah bergelar bapa tunggal kepada Ahmad Danial yang berusia tujuh tahun, maka misinya ketika ini mahu mencari rezeki buat anaknya.

“Anak saya berada bawah jagaan saya di Johor. Alhamdullilah saya banyak dibantu keluarga dalam hal ini.

“Selepas perkara yang berlaku dulu, saya tidaklah fobia sampai sekarang. Cuma masa awal-awal sahaja agak terkejut.

“Tapi saya semakin kuat dengan adanya rakan-rakan dan ahli keluarga yang tak putus-putus memberi sokongan. Saya sudah lupakan episod hitam yang dilalui dulu. Sekarang saya ada tanggungjawab untuk anak yang semakin membesar,” ungkapnya.