Bagi yang belum mengetahui, Qhaliq adalah sebuah filem lakonan Hairul Azreen sebagai pelakon utamanya dan ia mengisahkan tentang cerita seorang anggota Jabatan Bomba dan Malaysia (JBPM).

Sewaktu Utusan Online melakukan Terjah Filem pada tayangan perdananya baru-baru ini di eCurve, Mutiara Damansara, Hairul memberitahu filem Qhaliq banyak memaparkan kebanyakan aktiviti yang biasanya dilakukan oleh anggota bomba.

“Misalnya di awal cerita sendiri, Qhaliq terpaksa berdepan dengan operasi menyelamat mangsa yang tersepit dalam kereta akibat kemalangan.

“Dari situ kita dapat lihat pelbagai aset-aset yang dimiliki JBPM beserta teknik yang dilakukan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, filem terbitan Ohhsem Network Sdn. Bhd dengan kerjasama Ahmad Idham Film Academy turut mengangkat elemen aksi menyelamat, persahabatan, kekeluargaan dan percintaan.

Kedengaran agak klise seperti drama Melayu sedia ada namun ia adalah sebuah hiburan ringan yang sesuai untuk ditonton seisi keluarga.

Dari segi lakonan, pelakon baharu, Aliff Yasraff yang menjadi sahabat kepada Hairul wajar dipuji kerana keaslian karakternya ternyata sangat menghiburkan.

Selain Hairul, filem arahan Rosli Mohd. Taib ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Nur Risteena Munim, Ahmad Idham, Syainie Aida dan ramai lagi. - UTUSAN ONLINE