“Ayah dan emak berpisah sejak saya berusia enam bulan. Semasa di sekolah rendah, saya pernah juga tertanya-tanya kenapa keluarga kawan-kawan saya ada ibu dan ayah sedangkan saya tidak.

“Apatah lagi setiap kali ada acara membabitkan kehadiran ibu bapa di sekolah, saya berasa agak terpinggir kerana hanya ibu saja yang hadir.

“Kemudian barulah saya faham yang sebenarnya kedua ibu bapa saya sudah tidak tinggal bersama,” kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Batu Belah, Klang, Selangor ini.

Berkongsi cerita, Kieran atau nama sebenar Mas Kiran Jakiran ini berkata, dia bersyukur kerana ibu memberi kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh.

Kata Kieran, ibunya itu juga sentiasa menitikberatkan soal pendidikan sebagai jaminan masa depan selain soal sahsiah diri.

Ibunya juga sentiasa menerapkan ajaran nilai murni agar anak tunggalnya itu menjadi manusia berguna pada masa depan.

“Saya menyaksikan sendiri kesungguhan emak membesarkan saya semasa kecil. Dengan duit upah bekerja sebagai pengasuh dan mengambil tempahan membuat kek itulah dia gunakan untuk menyara kami berdua.

“Emak juga mengutamakan keperluan saya berbanding dirinya sendiri. Duit yuran sekolah tidak pernah lewat. Begitu juga dengan pakaian dan kasut sekolah, sentiasa berganti setiap tahun.

“Kami juga macam belangkas, tidak pernah berpisah. Sehinggalah saya mendapat tawaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuantan, Pahang ketika memasuki tingkatan satu.

“Ketika berpisah itu, kami berdua sudah macam buat drama swasta. Menangis tersedu sedan,” ujarnya yang pernah menuntut di MRSM Kertih, Terengganu ketika di tingkatan tiga dan MRSM Muar, Johor (tingkatan empat hingga lima).

Perpisahan tersebut bagaimanapun tidak pernah memisahkan kasih dua beranak itu. Kata Kiera, telefon awam sentiasa menjadi penghubung dan berkongsi cerita. Ibunya juga sentiasa menitipkan banyak nasihat.

Kejutan budaya

Selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1992, Kieran mendapat tawaran daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang di luar negara.

Bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu, Kieran menolak tawaran berkenaan. Keadaan itu menyebabkan permohonan untuk menyambung pelajaran di universiti awam tempatan dipandang sepi.

Lantas Kieran memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang akauntan di Institut Profesional Baitulmal di Kuala Lumpur. Permohonan itu berjaya dan Kieran menamatkan pengajian di situ kira-kira tiga tahun kemudian.

Berbekalkan kelulusan yang ada, Kieran memohon untuk bekerja di Rating Agency Malaysia Berhad (yang kini dikenali sebagai RAM Holdings Berhad). Pada waktu itu, jawatan yang dipohon adalah pegawai perhubungan awam (PRO).

Pun begitu selepas empat tahun, Kieran merasakan jiwanya tidak begitu serasi bekerja di pejabat. Akhirnya Kieran berhenti kerja.

“Saya hanya mengikut arus kehidupan sepanjang hidup saya. Saya pelajar sains tapi mengambil jurusan akauntan di peringkat diploma dan bekerja pula sebagai PRO.

“Sebab itu sewaktu saya dapat tahu tentang tawaran kerja sebagai Skuad Perodua Era, saya nekad untuk berhenti kerja dan bagi notis 24 jam kepada majikan.

“Memang itu keputusan yang gila. Tapi saya tidak boleh buat apa. Jiwa saya bukan duduk di pejabat. Saya sudah tak boleh terima waktu kerja 9 pagi hingga 5 petang.

“Bukan saya tak fikir panjang terutama tentang gaji. Gaji saya kerja di pejabat sebelum itu lebih RM2,000 sebulan sedangkan kerja dengan Skuad Perodua Era hanya RM10 untuk satu jam,” ujarnya yang bertahan bekerja selama empat tahun di situ.

Kieran kemudiannya ditawarkan untuk menjadi penyampai radio Era FM, mengendalikan segmen Pagi Di Era selama sembilan tahun.

Dia kemudiannya berpindah kepada stesen radio Hot FM dan mengendalikan beberapa segmen termasuk Hot FM AM Pagi Krew dan Hot FM Jam.

Dek merasakan usia tidak sesuai untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja stesen radio yang majoriti pendengarnya golongan muda, Kieran mengambil keputusan berhenti pada tahun lalu.

Kieran kini bekerja sebagai penyampai radio sambilan di stesen radio Sinar FM pada setiap Sabtu bermula 12 tengah hari hingga 4 petang.

Terkini, Kieran sedang sibuk mempromosikan filem terbarunya berjudul Zombie VS The Lucky Exorcist yang ditayangkan sejak Khamis lalu.

Dalam filem berkenaan, Kieran memegang watak bomoh yang bekerjasama menghapuskan zombie dan syaitan yang berada di sebuah kampung.

Zombie VS The Lucky Exorcist adalah filem kedua yang dibintangi Kieran selepas terlibat dengan filem berjudul Kantoi arahan Ahmad Ibrahim lebih tujuh tahun lalu.