KUALA LUMPUR, 1 APRIL 2015 - Sesi fotografi dan reshoot gambar

Sementelah menjadi anak lelaki tunggal dalam keluarga, Khairil amat berbangga kerana bapanya antara perwira negara yang berjasa mempertahankan tanah air tercinta malah turut menyimpan impian untuk mengikut jejak langkah bapanya itu apabila dewasa.

“Saya dan ayah memang rapat sejak kecil. Dia banyak mempengaruhi saya untuk menjadi sepertinya. Sampaikan termimpi-mimpilah kerana nak sangat jadi askar.

“Aktiviti saya pada zaman kanak-kanak juga cenderung ke arah seorang askar. Cergas, lasak dan berani,” katanya yang juga peminat filem perang seperti A Bridge Too Far, Midway dan Saving Private Ryan.

Malah kerana minat mendalam untuk menjadi seorang askar, Khairil turut membuat sendiri tiga pucuk senapang daripada kayu ketika waktu cuti persekolahan.

Menariknya, Khairil sendiri yang mencari bahan-bahan untuk menyiapkan senapang itu sebelum proses melukis dan menggergaji. Dan apabila senapang kayu itu siap, dia memastikan mainan berkenaan sentiasa berada di sisinya walaupun ketika waktu tidur.

“Saya memang sayangkan tiga senapang ciptaan saya itu. Saya cukup bimbang kalau ada orang curi atau rosak.

“Itu belum lagi cerita tentang peluru ciptaan saya. Mula-mula saya guna buah ceri, lepas itu buah enau. Buah itu kalau terkena mangsa boleh merenyam gatal kerana getahnya berbisa,” ujar anak ketiga daripada empat beradik ini.

Cerita Khairil lagi, oleh kerana impiannya mahu menjadi askar, selepas tamat Penilaian Darjah Lima, dia mengikuti sesi pemilihan untuk menyertai Maktab Tentera Diraja (RMC) di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur pada 1983.

Malangnya, Khairil tidak melepasi sesi pemilihan pada hari berkenaan kerana mengalami kecederaan di bahagian lutut selepas jatuh basikal.

Bagaimanapun Khairil menyembunyikan keadaan dirinya itu daripada bapanya selama seminggu gara-gara tidak mahu mengecewakan lelaki itu pada hari pemilihan.

“Sampai ke hari ini saya masih berasa bersalah kerana menyembunyikan perkara tersebut. Kenapalah saya tidak memaklumkan kepadanya awal-awal tentang keadaan kecergasan saya.

“Apa boleh buat... Itulah kali pertama ‘kuda’ harapan ayah ini mengecewakannya,” kata Khairil berkongsi cerita tentang bapanya yang juga bekas Pegawai Waran 1, Kem Sungai Buloh itu.

Kerja

Menurut Khairil, hubungan dengan bapanya kembali baik selepas dia diterima bekerja tetap sebagai salah seorang penyampai radio Era pada 1998.

Pada waktu itu, Khairil yang kini berusia 44 tahun sudah berpendapatan tetap dan berkahwin dengan Ivy Zallin Abidin, 43. Secara tidak langsung keadaan Khairil sudah mengubah tanggapan bapa terhadap dirinya.

“Selepas tamat SPM, saya pernah bekerja di kedai serbaguna 7 Eleven, pelayan hotel, kedai permainan Toys R Us dan restoran makanan segera KFC.

“Selain itu saya juga pernah bekerja sebagai kerani latihan di Jabatan Sumber Manusia, Malaysia Airlines (MAS) sebelum menjadi eksekutif pengeluaran di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor.

“Jadi apabila ayah mendapat tahu saya sudah bekerja tetap, dia tersenyum. Itu tanda hubungan kami sudah pulih,” ujarnya lagi.

Walaupun begitu, kata Khairil, dia gementar apabila terpaksa menunggu selama setahun panggilan daripada pihak Astro selepas sesi temuduga di radio Era pada 1997.

Namun sudah tercatat rezekinya, Khairil diterima bekerja bersama-sama Seelan Paul, David Lau, Linda Onn dan Halim Othman.

Selama 17 tahun bersama-sama Astro, Khairil mengendalikan beberapa segmen meliputi Era FM selama sembilan tahun, XFresh FM (enam bulan) dan terkini Sinar FM bersama-sama Tengku Azura dan Salih Yaacob.

Selain bertindak sebagai penyampai radio, Khairil juga menceburi bidang perniagaan pakaian kurta menggunakan jenama Krill Rashid secara dalam talian.

Terus kecewa

Khairil yang kini merupakan penyampai radio Sinar FM itu terus mengecewakan bapanya apabila gagal dalam mata pelajaran Bahasa Arab ketika menduduki peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1986.

Pada waktu itu Khairil menjadi pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Hamidiah, Kajang, Selangor.

“Buat kali kedua, saya mengecewakan ayah yang begitu berharap untuk saya menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar, Mesir. Dia berharap dengan belajar di SMKA Maahad Hamidiah, saya dapat menjejakkan kaki ke universiti berkenaan.

“Malangnya ketika keputusan SRP diumumkan, saya gagal subjek Bahasa Arab. Sedangkan mata pelajaran yang lain saya lulus. Tanpa disangka, bertitik-tolak dari situ hubungan kami sudah tidak semesra seperti dulu.

“Ayah seolah-olah tidak mempedulikan saya lagi,” katanya yang pernah menjadi pelajar Sekolah Menengah Seri Ampang, Selangor ketika tingkatan satu.

Menurut Khairil, bapanya juga seolah-olah tidak mahu bercakap dengannya sewaktu mereka sekeluarga berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan dari Ampang Jaya, Selangor pada 1984 selepas bapanya pencen.

Malah dia yang dihantar tinggal di rumah arwah bapa saudara, Idris Ujang di Seremban bagi memudahkannya berulang-alik ke Sekolah Menengah Kebangsaan King George V mengakui, merasai kelainan apabila bapanya tidak menunjukkan sebarang reaksi sewaktu menghantarnya ke situ.

“Kami berdua seolah-olah 'perang dingin'. Bukan saya tidak pernah cuba mengambil hati ayah tapi nampaknya tidak berjaya,” katanya yang pernah menubuhkan sebuah band bernama Wicked sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).