Dalam entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, Khai menceritakan secara terperinci latar belakang keluarga termasuk pekerjaaan bapanya sebagai pemandu teksi dan ibunya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

“Nama saya Muhammad Khairul Bin Baharuddin, saya berasal dari Kampung Padang Katong, Kangar, Perlis. Bapa saya bekerja sebagai pemandu teksi, ibu saya suri rumah, saya ada 6 (enam) beradik dan saya anak ke-4 (keempat).

“Kepada sesiapa yang menuduh saya seolah-olah malu mahu mengaku anak Perlis, saya dah maafkan anda dan maafkan saya jika kehadiran saya menyusahkan hidup anda. Kalau tak suka, mohon jangan ambil tahu pasal saya,” tegas pemuda itu memetik kapsyen yang dimuat naiknya.

Khai juga menambah, dia amat bersyukur kerana Allah telah memberikannya rezeki dan mendapat kekuatan daripada restu ibu bapa serta sokongan para peminatnya.

Khai baru-baru ini mengecap populariti mendadak selepas memenangi trofi Artis Baharu MeleTop 2017 dan diledakkan lagi dengan kemenangan dua trofi selaku Artis Baharu Popular dan Penyanyi Lelaki Popular. - UTUSAN ONLINE